KUCHING - Siri jelajah MILO® Malaysia Breakfast Day (MBD) 2026 bagi hentian ketiga di Sarawak berjaya menghimpunkan kira-kira 10,000 peserta daripada pelbagai etnik bagi mempromosikan gaya hidup aktif dan amalan sarapan berkhasiat.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng berkata, program tersebut amat digalakkan bagi menyatukan masyarakat pelbagai kaum selaras dengan semangat perpaduan di negeri itu.
“Program seperti ini juga membantu mengeratkan hubungan antara keluarga sambil menggalakkan amalan gaya hidup positif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya ketika menghadiri program tersebut pada Isnin.
Sementara itu, peserta larian, Ahmad Irfan Arsyad, 16, berkata, program tersebut telah disertai enam kali berturut-turut sejak 2017 kini menjadi tradisi tahunannya bersama keluarga.
“Saya telah menyertai MBD ketika saya berusia tujuh tahun. Sepanjang tempoh itu, ia menjadi tradisi tahunan yang sentiasa saya nantikan. MILO® telah menjadi sebahagian daripada zaman kanak-kanak saya, jadi saya membesar sebagai seorang MILO® Kid dan ia adalah sebahagian daripada rutin harian saya,” tambahnya.
Menurut Siti Noor Fadilah, 36, keterujaan menyertai program itu mendorong beliau membawa bersama 29 ahli keluarga dari Samarahan dan Asajaya untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama.
“Justeru, ia menjadikan pengalaman kali ini lebih istimewa dan memberi peluang kepada kami untuk meluangkan masa berkualiti bersama sambil mempelajari lebih lanjut mengenai amalan sarapan sihat dan gaya hidup aktif,” jelasnya.
Perkara sama turut dikongsi oleh David, 47, yang memberitahu, kesibukan harian bukan penghalang untuk beliau dan keluarga bersarapan bersama untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Walau sesibuk mana pun pagi kami, kami tetap meluangkan masa untuk bersarapan bersama sebagai sebuah keluarga.
“Sarapan pagi merupakan waktu yang penting untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memulakan hari dengan cara yang betul,” katanya.
Tay Chee Ming, 45, yang mengikuti program itu kali ketiga pula turut membawa ahli keluarga lain termasuk adik-beradik, anak-anak dan ibunya yang berusia 73 tahun.
“Tahun ini amat bermakna kerana saya berjaya menggalakkan lebih ramai ahli keluarga untuk turut serta, termasuk ibu saya yang berusia 73 tahun yang berjaya menamatkan larian bersama kami.
Selain acara larian sejauh tiga kilometer, MBD 2026 turut menampilkan elemen pendidikan menerusi program Nestle for Healthier Kids (N4HK) yang mempromosikan tabiat pemakanan lebih sihat dalam kalangan kanak-kanak dan keluarga.
MILO® memaklumkan, selepas kejayaan penganjuran MBD 2026 di Sabah, Terengganu dan Sarawak, siri jelajah itu akan diteruskan ke Kuantan di Pahang dan Kelantan sebelum acara kemuncak di Putrajaya pada 12 Julai 2026.