Cape Verde lakar sejarah ikat Sepanyol pada debut Piala Dunia

Iklan
Pemain Cape Verde meraikan kejayaan mengikat Sepanyol pada penampilan pertama di Piala Dunia. Foto Agensi

CAPE Verde mencipta sejarah tersendiri apabila mengikat juara Eropah, Sepanyol 0-0 dalam aksi pertama Kumpulan C Piala Dunia 2026 di Stadium Atlanta, sekali gus mencatat keputusan membanggakan pada penampilan sulung mereka di pentas terbesar bola sepak dunia.

Negara kepulauan di Lautan Atlantik yang mempunyai kira-kira 600,000 penduduk itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengekang asakan Sepanyol sepanjang 90 minit perlawanan.

Iklan
Iklan

Malah, Cape Verde hampir mencipta kejutan lebih besar apabila memperoleh beberapa peluang terbaik pada penghujung perlawanan.

Diney Borges hampir muncul wira pasukan pada minit ke-90 menerusi tandukan berbahaya, namun penjaga gol Sepanyol, Unai Simón, bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan itu.

Iklan

Ryan Mendes turut memiliki peluang keemasan beberapa minit kemudian sebelum Dani Olmo melakukan halangan penting bagi menggagalkan cubaan Kevin Pina.

Bagaimanapun, watak utama di sebalik keputusan bersejarah itu adalah penjaga gol veteran, Vozinha yang tampil cemerlang untuk memastikan gawang Cape Verde tidak dibolosi.

Iklan

Penjaga gol berusia 40 tahun itu menafikan beberapa peluang terbaik Sepanyol, termasuk percubaan Mikel Oyarzabal, Ferran Torres dan Aymeric Laporte ketika pasukan lawan mula meningkatkan tekanan menjelang penghujung babak pertama.

Sepanyol menguasai sebahagian besar permainan dan menghasilkan 24 percubaan ke arah gol, namun gagal menembusi benteng pertahanan Cape Verde yang beraksi penuh disiplin.

Jurulatih Cape Verde, Bubista sebelum ini menegaskan pasukannya perlu bertahan dengan baik sambil berani mencabar lawan apabila berpeluang, dan pendekatan itu terbukti berkesan.

Persembahan cemerlang turut dipamerkan pertahanan, Pico Lopes yang melakukan terjahan penting pada minit ke-88 untuk menafikan percubaan Olmo ketika Sepanyol semakin terdesak mencari gol kemenangan.

Kemasukan bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal pada minit ke-70 juga gagal mengubah nasib pasukannya apabila Cape Verde terus bertahan dengan kental sehingga wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan Cape Verde meraih satu mata berharga dalam penampilan pertama mereka di Piala Dunia, sekali gus menghadiahkan antara kejutan terbesar setakat ini dalam kejohanan berkenaan.