Pendedahan terbaharu fail UFO

Iklan
Setakat ini, kempen ketelusan pentadbiran Trump telah membawa kepada pendedahan kira-kira 300 fail sejak tahun 1940-an. Foto Agensi

WASHINGTON - Cakera berputar yang memancarkan cahaya, bebola merah bercahaya dengan warna luar biasa dan objek misteri yang disamakan dengan kentang serta kacang antara penampakan ganjil yang didedahkan dalam dokumen terbaharu Pentagon.

Dokumen itu merupakan siri ketiga pendedahan sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan pentadbirannya membongkar lebih banyak maklumat kepada umum mengenai makhluk asing dan objek misteri yang dilaporkan muncul di langit.

Iklan
Iklan

Sebanyak 72 fail yang diterbitkan, namun tiada satu pun yang mengandungi pendedahan besar seperti yang dibayangkan oleh Trump kerana tiada bukti muktamad mengenai kewujudan makhluk asing.

Fail-fail tersebut hanya mendedahkan butiran baharu tentang beberapa penampakan terkini dan usaha sambil lewa kerajaan untuk memberi penjelasan tentang misteri berkenaan.

Iklan

Sebagai contoh, objek seperti kentang yang dikesan sekumpulan anggota tentera darat di Colorado pada 2022.

"Ia kekal pegun dan berkilauan selama kira-kira dua minit sebelum hilang sekelip mata," menurut laporan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Iklan

Penampakan itu sukar disahkan memandangkan tiada seorang pun daripada mereka membawa telefon bimbit ketika itu. Tiada video atau gambar yang dirakam.

Kesan ilusi cahaya

Pihak berkuasa yang ditugaskan menyiasat kejadian itu mengakui, mereka tidak dapat memberikan penjelasan yang mudah.

Laporan mereka menyimpulkan ia mungkin disebabkan oleh 'hamburan balik cahaya matahari' iaitu cahaya rendah daripada matahari yang sedang terbit dipantulkan oleh salji di gunung lalu menerangi awan rendah di atasnya.

Kebanyakan penampakan objek misteri di ruang udara tidak disokong bukti video atau gambar. Foto Agensi

Kesemua askar itu bagaimanapun menegaskan cuaca pada hari itu cerah tanpa awan. Tiada pesawat atau belon yang dipercayai berada di kawasan tersebut.

Laporan setebal empat muka surat yang sebahagian besarnya dipadamkan hanya memberikan 'jawapan selamat' dengan menyatakan bahawa objek tersebut tidak kelihatan seperti teknologi milik musuh asing.

Kes itu masih belum terungkai hingga kini.

Satu lagi laporan meneliti beberapa penampakan pada Oktober 2023. Kali ini melibatkan enam ejen penguat kuasa persekutuan. Mereka mendakwa melihat bebola oren terang muncul di atas rabung bukit dan kemudian menghasilkan dua hingga empat bebola merah yang lebih kecil.

Sebuah bebola dikatakan kekal pegun di langit selama beberapa jam manakala selebihnya lenyap dalam waktu singkat.

Laporan itu juga menyatakan tiada bukti video atau gambar yang menyokong dakwaan tersebut.

Beberapa teori kemudiannya cuba menjelaskan kejadian itu. Ia mungkin disebabkan pesawat tentera yang sedang menjalankan latihan di kawasan berkenaan dan ada yang melepaskan suar atau berkemungkinan ujian teknologi pembangunan AS.

Laporan itu tidak menolak kemungkinan bahawa objek tersebut merupakan 'teknologi yang belum dikenal pasti'. Ia mengesyorkan siasatan lanjut dilakukan memandangkan bukti yang agak terhad.

300 fail didedahkan

Laporan FBI pada Februari lalu turut mendedahkan satu penampakan di lokasi yang tidak didedahkan di timur laut Washington.

Seorang individu yang namanya dipadamkan melaporkan dia melihat cahaya yang sangat terang terapung di bawah pokok-pokok di halaman belakang rumahnya.

Ia digambarkan sebagai satu sfera merah yang 'sangat indah dan menakjubkan' dengan warna yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

“Di bahagian tengahnya terdapat apa yang digambarkan oleh individu tersebut sebagai ‘matahari plasma putih’ sebesar bola keranjang,” menurut fail FBI tersebut.

Rakaman telefon bimbit menunjukkan dua bebola merah bercahaya bergerak di langit. Rumah Putih berkongsi video itu di media sosial tanpa sebarang kenyataan selain nama fail tersebut: “NORTHEASTERN ORB SIGHTING, 2025.”

Setakat ini, kempen ketelusan pentadbiran Trump telah membawa kepada pendedahan kira-kira 300 fail sejak tahun 1940-an. Sebahagiannya belum pernah didedahkan kepada umum manakala selebihnya memberikan maklumat tambahan kepada kes-kes yang telah diketahui sebelum ini.

Kumpulan fail terbaharu itu turut merangkumi laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) pada 2008 mengenai Zimbabwe yang dilabel sebagai 'tidak pernah didedahkan sebelum ini'.

Para pemerhati dilaporkan melihat sesuatu di ruang udara lapangan terbang utama negara itu.

Objek itu berbentuk cakera dengan bahagian tengah yang berlubang dan mempunyai satu siri lampu berputar pada bahagian bawah badan pesawat.

“Pancaran cahaya dilihat keluar daripada objek tersebut. Lampu-lampu tersebut berubah warna dan objek itu kemudian naik tinggi sehingga hilang daripada pandangan,” menurut laporan itu lagi.

Terdapat perdebatan mengenai asal-usulnya dengan sesetengah pihak mendakwa ia milik kerajaan asing dan ada yang percaya ia mungkin berasal dari luar bumi. - Agensi