NEW DELHI - Seorang wanita di Madhya Pradesh, India, menunjukkan keberanian luar biasa apabila berjalan sejauh kira-kira enam kilometer ke balai polis dengan rantai besi masih tergantung di lehernya selepas mendakwa dirantai, dipukul dan ditekap menggunakan besi panas oleh suaminya.
Mangibai Tanwar mendakwa dia dikurung hampir 24 jam di dalam rumah sebelum berjaya meloloskan diri dalam kejadian yang berlaku di daerah Rajgarh.
Menurut laporan India Today, kejadian bermula pada petang 10 Jun lalu apabila suaminya, Sardar Singh Tanwar pulang ke rumah dalam keadaan mabuk.
Selepas makan malam, lelaki itu didakwa mula memakinya dan apabila Mangibai membantah, suaminya keluar dari rumah sebelum memotong dahan pokok untuk dijadikan kayu pemukul.
Mangibai mendakwa dia dipukul menggunakan kayu tersebut, ditampar berkali-kali dan diugut.
Tidak tahan dengan keganasan yang dialami, dia mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan polis dan keluar dari rumah secara senyap pada malam itu.
Namun belum sempat tiba di Balai Polis Khilchipur, dia mendakwa suaminya berjaya mengesannya berhampiran sebuah kuil sebelum sekali lagi menyerangnya dan memaksanya pulang ke rumah.
Menurut Mangibai, sebaik tiba di rumah, layanan yang diterimanya menjadi lebih kejam.
Dia mendakwa suaminya membelitkan rantai besi pada lehernya sebelum mengunci hujung rantai itu pada sebatang tiang di dalam rumah.
"Sekarang kita tengok macam mana kamu hendak pergi ke balai polis dan membuat laporan terhadap saya," dakwanya mengulangi kata-kata suaminya.
Mangibai turut mendakwa suaminya kemudian memanaskan sebatang besi di atas dapur gas sebelum menekapkan pada beberapa bahagian tubuhnya.
Akibat perbuatan itu, dia mengalami kesan lecur pada bahagian pinggang, punggung dan paha kanan.
Walaupun menjerit kesakitan, tiada sesiapa tampil membantu.
Sepanjang tempoh hampir 24 jam dikurung, Mangibai mendakwa dia tidak dibenarkan keluar rumah atau bercakap dengan sesiapa.
Dalam masa sama, suaminya dikatakan cuba mengumpulkan penduduk kampung untuk mengadakan mesyuarat panchayat (majlis atau badan pentadbiran tempatan di peringkat kampung) bagi mendesaknya menarik balik hasrat membuat laporan polis.
Bimbang terus menjadi mangsa keganasan, Mangibai berpura-pura akur sambil menunggu peluang untuk melarikan diri.
Peluang itu muncul apabila suaminya keluar rumah untuk memanggil penduduk kampung menghadiri mesyuarat berkenaan.
Ketika bersendirian di rumah, Mangibai terlihat seketul batu lalu menggunakannya untuk memecahkan mangga yang mengunci rantai pada lehernya.
Tanpa membuang masa, Mangibai melarikan diri dan berjalan menuju ke Balai Polis Khilchipur.
Dalam keadaan malam yang gelap, dia meredah laluan sunyi, kawasan ladang dan jalan tidak berturap dengan rantai serta mangga yang masih tergantung pada lehernya.
Perjalanan itu menyebabkan kakinya tertusuk duri dan dipenuhi calar serta luka, namun dia tetap meneruskan langkah demi mendapatkan bantuan.
Menurut laporan, sebahagian individu yang terserempak dengannya menyangka dia mengalami gangguan mental kerana melihat rantai pada lehernya, manakala hanya segelintir memahami bahawa wanita itu sebenarnya mangsa keganasan rumah tangga.
Seorang individu yang prihatin dilaporkan sempat memberinya makanan sebelum Mangibai meneruskan perjalanan ke balai polis.
Mangibai akhirnya tiba di Balai Polis Khilchipur kira-kira jam 10 malam.
Kehadirannya mengejutkan anggota polis apabila mendapati rantai besi masih terikat pada lehernya, selain kesan lecur dan kecederaan yang jelas kelihatan pada tubuh mangsa.
Dia kemudian menceritakan segala yang dialaminya sebelum polis menanggalkan rantai tersebut dan membawanya menjalani pemeriksaan perubatan.
Susulan laporan itu, sepasukan polis dihantar ke kampung berkenaan sebelum menahan Sardar Singh Tanwar.
Ketua Polis Balai Khilchipur, Kamal Singh Gehlot berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berdasarkan dakwaan mangsa berhubung kesalahan mencederakan serta mengurung secara salah.
"Suspek telah ditahan dan akan dihadapkan ke mahkamah. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi meneliti semua aspek kes," katanya.
Ironinya, rantai yang didakwa digunakan untuk membungkam suara Mangibai akhirnya menjadi bukti paling kukuh yang membawanya kepada keadilan. - Agensi