PASIR PUTEH -"Ayah dan ibu tidak pernah berpisah, bila ke mana-mana mereka sentiasa berdua."
Demikian kata Yuslizawati, 48, anak kepada pasangan warga emas, Mohamad Shaufi Awang Kechik,69, dan Kamarsah Musa, 68, yang maut dalam kemalangan di Jalan Selising-Tok Bok berhampiran simpang Kampung Sungai Durian di sini pada Isnin.
Menurut anak sulung daripada lapan beradik itu, kali terakhir dia berjumpa ibu bapanya pada pagi tadi sebelum berangkat ke tempat kerja di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Kubang Kerian, Kota Bharu.
"Pagi tadi mereka bertolak dari rumah sekitar jam 6.50 pagi dengan motosikal kerana ayah hendak pulang menoreh di rumah di Kampung Pek, Machang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Anis di sini.
Yuslizawati memberitahu, dia menerima panggilan berkenaan kejadian yang menimpa ibu bapanya itu sekitar jam 7.45 pagi sebaik sahaja tiba di HPUSM.
Ujarnya, dia terus bergegas ke lokasi kejadian dan ketika itu berdoa serta berharap mereka berdua masih hidup.
Namun kata dia, selepas melihat gambar kemalangan yang dihantar, harapan tersebut berkecai.
Menurut dia, pasangan itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pek pada malam Sabtu selepas selesai bedah siasat.
Tambahnya lagi, hanya dia dan adik lelaki bongsu yang menetap di Kelantan, manakala selebihnya merantau.
"Bagaimanapun kesemua lapan anak serta enam cucu selamat pulang dan berada di unit forensik," katanya.
Terdahulu, perjalanan sepasang suami isteri warga emas berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Kancil di Jalan Selising-Tok Bok berhampiran simpang Kampung Sungai Durian di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, penunggang motosikal berusia 69 tahun dan isterinya, 68, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Saari Yaacob berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut pada jam 7.55 pagi.