SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius beberapa tuduhan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah berkaitan sistem kemasukan ke universiti awam, termasuk dakwaan kononnya institusi itu menjual tempat kepada golongan tertentu.
KPT dalam satu kenyataan berkata, susulan itu pihaknya meneliti dan mempertimbangkan tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya.
Menurutnya, ia bagi mempertahankan integriti kementerian, universiti awam dan sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah serta tuduhan yang tidak berasas.
"Perlu ditegaskan bahawa ini bukan kali pertama tuduhan sedemikian dilemparkan oleh Haim Hilman terhadap KPT.
"Kementerian sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina dan berasaskan fakta namun, sebarang tuduhan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh," ujarnya pada Ahad.
Sebelum ini, Haim Hilman didakwa menyatakan bahawa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menafikan 30,000 pelajar yang layak kerana amalan tidak telus dan wujud unsur ‘pintu belakang’ dalam satu ceramah umum di Markas Pas Kawasan Seremban pada 13 Jun lalu.
Menurut KPT, tuduhan tersebut bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara.
"Ia termasuk universiti awam, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah.
"KPT juga tidak akan membenarkan sebarang pihak melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat," ujarnya.