PASIR MAS - Kegiatan dipercayai berkaitan sindiket penipuan dalam talian terbongkar apabila dua lelaki warga China ditahan bersama puluhan telefon bimbit dan ratusan kad sim luar negara dalam serbuan di kawasan belukar Kampung Siram, Jeram Perdah, awal pagi Isnin.
Dalam operasi kira-kira jam 4.30 pagi itu, anggota Strike Force Kompeni B Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa bertindak menahan kedua-dua suspek selepas menerima maklumat awam mengenai pergerakan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki berusia 32 dan 34 tahun itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai baru memasuki negara ini melalui laluan tidak sah pada awal pagi hari sama.
"Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 45 unit telefon bimbit, 142 kad sim luar negara serta dua pemacu storan mudah alih (pendrive) dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM48,040.
"Jumlah telefon dan kad sim yang banyak menimbulkan syak bahawa suspek mungkin terlibat dalam aktiviti scammer atau penipuan dalam talian. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan sebenar kedua-dua individu terbabit," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, proses soal siasat turut berdepan kekangan apabila kedua-dua suspek tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris.
Katanya, suspek bersama semua barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.