KULAI - Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) bukan sekadar bantuan pendidikan, malah menjadi sinar harapan baharu buat keluarga B40 yang bergelut menampung kos pengajian anak-anak di institusi pendidikan tinggi.
Bagi Nor Aini Sabtu, 66, dari Taman Puteri di sini, pemilihan cucunya Muhammad Amar Kho Arif Khoo, 21, sebagai penerima biasiswa itu amat melegakan keluarganya.
Menurutnya, bantuan itu bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah memberi semangat kepada cucunya untuk terus cemerlang dalam pengajian bidang Keselamatan Siber di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
"Muhammad Amar merupakan anak kedua daripada tiga beradik sudah tidak memiliki ibu kerana sudah meninggal dunia akibat kanser semasa dia berusia 15 tahun. Ayahnya pula bekerja sebagai pekerja kilang.
"Saya bukan daripada keluarga berada, dapat PTPTN bantu cucu saya amat berterima kasih. Terima kasih juga kepada pegawai yang menguruskannya," katanya selepas sesi penyerahan biasiswa BAeK PTPTN oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.Turut hadir, Pengerusi PTPN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Alin Nairien Wong Mohd Alif Wong, 20, yang berasal dari Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, bersyukur mendapat biasiswa berkenaan.
Anak kedua dari tiga beradik yang belajar dalam bidang Pengurusan Acara di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang mengakui biasiswa itu dapat meringankan beban keluarganya.
"Saya sudah tidak perlu susahkan abang atau ibu saya lagi. Selepas bapa meninggal dunia ketika saya berusia 13 tahun, abang sulung banyak membantu.
"Abang bekerja kilang dan ibu saya yang merupakan ibu tunggal mengambil upah sebagai tukang jahit," ujarnya.