SHAH ALAM - Kedudukan kewangan Selangor masih berada pada tahap sihat meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik geopolitik dan turun naik pasaran dunia.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri belum melihat keperluan untuk mengambil langkah kecemasan kerana prestasi kutipan hasil setakat ini masih berada pada landasan positif.
Menurut beliau, kutipan hasil negeri setakat ini mencecah RM1.6 bilion daripada sasaran RM2.8 bilion yang ditetapkan bagi tahun ini dengan trend kutipan semasa menunjukkan perkembangan positif.
"Kita belum lagi tekan panic button, tetapi sentiasa memantau perkembangan setiap minggu dan setiap bulan," katanya pada sidang media selepas pelancaran Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (PPDTS) Fasa 1 di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut Amirudin berkata, kerajaan negeri ketika ini turut merekodkan lebihan kira-kira RM300 juta berbanding jumlah perbelanjaan keseluruhan.
Beliau menjelaskan, walaupun kedudukan kewangan tahun ini tidak sekuat tahun lalu, kerajaan negeri masih yakin mampu mencapai sasaran hasil yang ditetapkan.
"Kita masih mempunyai rizab yang baik dan akan terus memantau hasil negeri secara dekat.
"Pada masa sama, pelbagai usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan kutipan hasil termasuk melalui proses pelupusan tanah, perubahan syarat nyata tanah bagi tujuan perindustrian serta kemasukan pelaburan baharu ke Selangor," jelas beliau.
Amirudin menjelaskan, kesan sebenar ketidaktentuan ekonomi global dijangka hanya dapat dilihat dalam tempoh beberapa bulan akan datang, bagaimanapun kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif bagi mengurangkan impak kepada rakyat dan sektor ekonomi.
Beliau memberitahu, langkah seperti subsidi pengangkutan awam, bantuan kos sara hidup dan pengukuhan keselamatan makanan yang diumumkan menerusi PPDTS adalah antara usaha awal bagi menyerap tekanan ekonomi sekiranya keadaan global bertambah buruk.
"Kita tidak boleh mengawal apa yang berlaku di peringkat antarabangsa, tetapi kita boleh bersedia dan mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi rakyat serta ekonomi negeri," tambah beliau.