Selangor salur RM100 sebulan untuk 50,000 keluarga - Amirudin

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - Seramai 50,000 keluarga di Selangor bakal menerima bantuan RM100 sebulan menerusi inisiatif Baucar Kita Selangor bermula 30 Jun ini bagi membantu meringankan beban kos sara hidup.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan selama enam bulan itu antara inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (PPDTS) Fasa 1 yang diumumkan kerajaan negeri bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global serta tekanan kos sara hidup.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, penerima akan dikenal pasti menerusi semakan beberapa pangkalan data sedia ada termasuk Inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), eKasih dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan memerlukan.

"Kita akan mula meneliti senarai penerima bermula 22 hingga 23 Jun sebelum memaklumkan kepada mereka yang layak.

Iklan

"Sasarannya supaya penerima boleh mula menggunakan bantuan RM100 sebulan itu bermula 30 Jun dan pembayaran akan diteruskan setiap bulan sehingga tempoh enam bulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan PPDTS Fasa 1 di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Isnin.

Iklan

Sebanyak RM140 juta diperuntukkan kerajaan negeri untuk melaksanakan 7 program utama dalam pakej itu dengan hasrat sebahagian besar program itu dimulakan pada Jun ini.

Insiiatif itu bertujuan meringankan beban rakyat pada masa ini, selain menjadi asas kepada pembinaan daya tahan ekonomi, keselamatan makanan dan kesejahteraan rakyat Selangor dalam jangka panjang.

Mengulas lanjut mengenai bantuan RM100 itu, Amirudin menjelaskan, sebahagian penerima terdiri daripada pemohon BINGKAS yang tidak berjaya atau masih berada dalam senarai menunggu berikutan kuota program berkenaan telah dipenuhi.

Katanya, kerajaan negeri turut membuat semakan silang dengan data agensi berkaitan termasuk Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi memastikan hanya keluarga yang memerlukan menerima manfaat itu.

"BINGKAS sebelum ini menetapkan had pendapatan tertentu dan kuotanya sudah penuh, jadi sebahagian pemohon yang masih memerlukan bantuan akan dipertimbangkan di bawah program ini.

"Kita juga membuat pengesahan menggunakan data eKasih dan ICU supaya bantuan sampai kepada kumpulan sasar.

"Kerajaan negeri akan terus memantau keadaan ekonomi semasa dan bersedia menambah langkah intervensi sekiranya diperlukan bagi melindungi kebajikan rakyat," jelas beliau.