[VIDEO] Nahas empat maut: Kiriman swafoto makan nasi Arab jadi kenangan terakhir keluarga

Iklan

TEMERLOH — Kiriman sekeping swafoto ketika menikmati hidangan nasi Arab di sebuah restoran di Kuala Lumpur menjadi kenangan terakhir empat beranak maut selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap treler dalam nahas di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Bentong pada Ahad.

Tragedi menyayat hati itu mengorbankan A Halim Hasoon, 55, isterinya Rozita Buang, 58, anak perempuan mereka Norbahyah A Halim, 26, serta cucu perempuan, Nayla Afya Aizat, 1.

Iklan
Iklan

Kakak ipar kepada A Halim, Mazura Bakar, 50, berkata, foto berkenaan dihantar sendiri oleh arwah selepas mereka sekeluarga menikmati makan tengah hari bersama anak bongsu pasangan itu di ibu kota sekitar jam 2.15 petang itu.

"Adik ipar saya sempat ambil gambar satu keluarga ketika makan bersama dan hantar kepada saya.

Iklan

"Saya tidak sangka (gambar) itu menjadi kenangan terakhir mereka," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini pada Isnin.

Mazura

Iklan

Bercerita lanjut, Mazura berkata, keluarga itu bertolak dari kediaman mereka di Mempaga, Bera ke Kuala Lumpur pada sebelah pagi tanpa memaklumkan tujuan perjalanan kepada ahli keluarga lain.

Menurutnya, setibanya di ibu kota, Norbahyah menghubungi adik lelakinya yang baru selesai bekerja sekitar jam 12 tengah hari untuk mengajak makan bersama.

Mazura yang menetap di Kuala Pilah memberitahu, selepas menikmati hidangan tengah hari, mereka dikatakan sempat bertemu suami Norbahyah sebelum bergerak pulang secara berasingan.

"Adik kepada Norbahyah menaiki motosikal manakala arwah A Halim, isteri, anak serta cucunya pulang menaiki kereta. Dalam perjalanan pulang itulah mereka ditimpa kemalangan," ujarnya.

Mazura menambah, nahas tersebut hanya diketahui selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya yang melihat berita berkenaan tular di TikTok.

"Saya ketika itu sedang mengaji sebelum dihubungi anak saudara yang bertanya mengenai kemalangan itu.

"Saya terus menghubungi Hospital Bentong sebelum dimaklumkan semua jenazah dibawa ke Unit Forensik Hoshas," katanya.

Menurut Mazura, hubungannya dengan A Halim sangat rapat kerana arwah sering berkongsi pelbagai perkara sejak masih bujang sehingga berkeluarga.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu adalah ketika sambutan Aidilfitri lalu.

Dalam pada itu, Mazura berkata, dia pernah melihat beberapa hantaran di media sosial milik Rozita yang menyentuh soal kehidupan dan perpisahan sejak kebelakangan ini.

Gambar A Halim dan Rozita bersama cucu yang dimuat naik di media sosial. Beliau dilihat sering memuat naik hantaran yang seolah-olah berkongsi mengenai kehidupan dan perpisahan.

"Cuma ada beberapa status yang dimuat naik seolah-olah berkongsi mengenai kehidupan dan perpisahan.

"Bagaimanapun, kami tidak menyangka perkara seperti ini akan berlaku," katanya.

Semua jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mempaga 1, Bera selepas selesai proses bedah siasat.

Sementara itu, pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan empat nyawa di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) semalam, didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritandan Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 40 tahun itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk ujian saringan air kencing, sejurus selesai rawatan di hospital.