SHAH ALAM - Polis menyiasat insiden pergaduhan dua pelajar di padang bola Masjid Ubudiah Seksyen 19 di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan dibuat bapa kepada salah seorang pelajar terbabit.
Jelasnya, siasatan awal mendapati dua pelajar berusia 13 dan 14 tahun itu saling mengenali dan belajar di sekolah yang sama.
"Insiden pergelutan kira-kira jam 1 petang itu hanya berlaku antara dua pelajar terbabit dan dipercayai turut disaksikan beberapa pelajar.
"Mangsa berusia 13 tahun menerima rawatan di Hospital Shah Alam dan disahkan mengalami 'soft tissue injury'," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dan memanggil semua saksi terlibat.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 atau balai polis berdekatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.