KALI ini panas tentang seorang pengacara sebuah majlis politik di Seremban yang berseloroh menamakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai 'Tok Undang kelima'. Rakaman video tersebut tersebar luas sehingga mengundang kemarahan ramai, khususnya rakyat Negeri Sembilan.
Mana mungkin mereka tidak marah. Institusi adat merupakan perkara yang paling dihormati dan dijunjung tinggi oleh masyarakat Negeri Sembilan sejak turun-temurun. Apabila institusi itu dijadikan bahan gurauan, walaupun mungkin tanpa niat jahat, ia tetap dilihat sebagai satu bentuk perbuatan yang tidak wajar.
Iklan
Iklan
Merak Jalanan faham, dalam dunia politik, gurauan dan sindiran sering digunakan untuk menceriakan suasana. Namun tidak semua perkara boleh dijadikan bahan jenaka, lebih-lebih lagi apabila melibatkan adat, warisan dan maruah sesuatu negeri.
Tambahan pula ketika ini Negeri Sembilan sedang berdepan pelbagai polemik berkaitan pentadbiran adat. Dalam keadaan suasana yang sudah sedia sensitif, sebarang kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai mempermainkan institusi adat hanya akan menambahkan ketegangan.
Institusi Undang bukan sekadar gelaran atau jawatan biasa. Ia mempunyai sejarah panjang dan peranan penting dalam sistem pemerintahan adat Negeri Sembilan. Sebab itu masyarakat setempat amat menjaga dan mempertahankan kedudukan institusi tersebut daripada sebarang bentuk penghinaan atau sindiran.
Merak Jalanan bagaimanapun berharap isu ini tidak dipanjangkan sehingga menimbulkan perpecahan. Namun pihak yang terlibat juga perlu mengambil tanggungjawab.
Oleh kerana gurauan itu telah menyinggung perasaan rakyat Negeri Sembilan, wajarlah untuk tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.