PENINGKATAN kadar pengangguran negara daripada 2.9 peratus kepada 3.0 peratus pada April lalu mungkin kelihatan kecil pada angka, tetapi ia tidak seharusnya dipandang ringan.
Mungkin ada yang menganggap kenaikan 0.1 peratus itu tidak signifikan kerana Malaysia masih berada dalam julat hampir guna tenaga penuh. Tetapi jika diamati di sebalik angka tersebut, terdapat lebih setengah juta rakyat yang masih belum memperoleh pekerjaan. Jumlah yang sangat besar.
Berdasarkan pandangan penganalisis ekonomi, peningkatan kadar pengangguran itu tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan ketegangan geopolitik atau gangguan di Selat Hormuz. Katanya, kesannya mengambil masa untuk dirasai pasaran buruh.
Penjelasan tersebut bukan bermaksud isu pengangguran boleh dianggap sebagai perkara biasa atau tidak membimbangkan. Lebih-lebih lagi apabila data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan seramai 24,025 orang kehilangan pekerjaan pada suku pertama tahun ini. Angka itu memberi gambaran bahawa sememangnya wujud tekanan terhadap pasaran pekerjaan ketika ini.
Apa yang lebih membimbangkan, sekiranya peluang pekerjaan baharu yang diwujudkan tidak setanding dari segi pendapatan dan kemahiran dengan pekerjaan yang hilang. Situasi ini boleh menjejaskan pendapatan isi rumah, kuasa beli pengguna dan akhirnya pertumbuhan ekonomi negara.
Justeru, kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih proaktif bagi mengurangkan kadar pengangguran. Langkah pertama adalah mengenal pasti syarikat dan sektor yang terlibat dalam pemberhentian pekerja secara lebih terperinci.
Jika syarikat yang berdepan masalah operasi itu adalah syarikat tempatan, bantulah. Bantuan tidak semestinya dalam bentuk suntikan modal, tetapi kerajaan boleh menawarkan sokongan seperti insentif latihan semula pekerja, bantuan penerokaan pasaran baharu, pemudah cara serta khidmat nasihat.
Program peningkatan kemahiran dan pemadanan pekerjaan perlu diperbanyakkan lagi agar pekerja yang terjejas dapat kembali ke pasaran buruh dengan lebih cepat.
Ingatlah bahawa kadar pengangguran bukan sekadar angka atas kertas, tetapi ia melibatkan kehidupan, pendapatan dan masa depan ratusan ribu rakyat serta ahli keluarga mereka.