Guna van kurier seludup lebih 2,500 vape

Iklan
Rampasan itu dilakukan selepas anggota PGA menahan sebuah van Toyota Hiace yang berada dalam keadaan mencurigakan di sekatan jalan raya Lalang Pepuyu. Foto PGA

TANAH MERAH - Sebuah van kurier digunakan penyeludup dalam cubaan licik menyeludup 2,560 unit vape bernilai RM316,000 ke Thailand melalui pangkalan haram di Rantau Panjang berjaya digagalkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan Kelantan pada Ahad.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan itu dilakukan selepas anggota PGA menahan sebuah van Toyota Hiace yang berada dalam keadaan mencurigakan di sekatan jalan raya Lalang Pepuyu, di sini pada jam 12.15 tengah hari.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut menemukan kotak-kotak mengandungi vape pelbagai perisa yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku mengambil bekalan pod vape berkenaan di sekitar Tanah Merah sebelum merancang menghantarnya ke Thailand melalui sebuah pangkalan haram di Kampung Rahmat, Rantau Panjang.

Iklan

“Vape merupakan barangan yang dilarang di Thailand sama ada untuk diedar, dijual, dimiliki atau dihisap,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang memandu van berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

Iklan

Ahmad Radzi berkata, kes dan rampasan berkenaan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Tanah Merah untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“PGA akan terus memperketat pemantauan di sepanjang sempadan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan pembolosan yang menggunakan laluan tidak sah,” katanya.