SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah mengemukakan fakta, data dan bukti yang jelas berhubung dakwaan terdapat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjual tempat kepada golongan tertentu.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah, Azli Yusof berkata, jika benar wujud penyelewengan seperti yang didakwa, beliau bertanggungjawab menyalurkan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa agar siasatan dapat dijalankan.
Namun katanya, jika dakwaan tersebut tidak disertakan dengan bukti kukuh, ia hanya akan menimbulkan keresahan dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan masyarakat serta mencemarkan reputasi institusi pendidikan tinggi (IPT) negara.
"Amanah juga menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan penjelasan rasmi bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem kemasukan ke IPTA terus terpelihara," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau menegaskan, integriti sistem pendidikan negara tidak wajar dipolitikkan melalui tuduhan tidak berasas, sebaliknya mana-mana pihak yang membuat dakwaan serius perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan.
"Haim Hilman harus berani bertanggungjawab mengemukakan bukti. Jika sebaliknya, beliau ternyata sengaja mengada-adakan pembohongan dan menimbulkan fitnah semata-mata untuk meraih politik murahan," katanya.
Sebelum ini, Haim Hilman didakwa menyatakan bahawa IPTA menafikan 30,000 pelajar yang layak kerana amalan tidak telus dan wujud unsur ‘pintu belakang’ dalam satu ceramah umum di Markas Pas Kawasan Seremban pada 13 Jun lalu.
Azli berkata, dakwaan sedemikian adalah sangat berat kerana bukan sahaja menyentuh integriti sistem kemasukan ke IPTA, malah turut melibatkan kredibiliti KPT, Unit Pusat Universiti (UPU), institusi pengajian tinggi awam serta ribuan pelajar yang berjaya memperoleh tempat berdasarkan proses pemilihan yang sah.
"Oleh itu, Amanah memandang serius dakwaan demi dakwaan dibuat oleh Haim berhubung perkara itu," ujarnya.