Perjuangan Pas lebih jelas - Hamidah

Iklan
Hamidah

IPOH - Hampir lima tahun menyepi daripada dunia politik, bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman kembali membuat kemunculan apabila mengumumkan penyertaannya ke dalam Pas.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu berkata, keputusan untuk kembali aktif bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya didorong oleh perkembangan semasa politik negara yang disifatkan memerlukan satu perubahan.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya saya sudah hampir bersara daripada politik kerana hampir lima tahun tidak berparti. Tetapi apabila melihat senario semasa, saya rasa terpanggil untuk kembali aktif kerana sesuatu perlu dilakukan untuk menyelamatkan negara.

"Saya melihat Pas sebagai satu-satunya parti yang sejajar dengan perjuangan saya iaitu demi agama, bangsa dan negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Hamidah berkata, Pas dilihat masih konsisten berpegang kepada prinsip tersebut berbanding parti lain termasuk UMNO yang didakwanya telah tersasar daripada landasan asal.

Katanya, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, UMNO tidak lagi memainkan peranan dominan dalam kerjasama politiknya bersama Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan.

Iklan

“Ada perkara penting melibatkan kepentingan Melayu, UMNO dilihat lebih banyak berdiam diri,” katanya.

Hamidah memaklumkan beliau secara rasmi menyertai Pas beberapa hari lalu melalui keahlian terus di peringkat pusat.

Menurutnya lagi, perubahan pendekatan Pas yang dilihat lebih terbuka termasuk menerima golongan profesional dan Melayu moderat, turut menjadi faktor yang menarik minatnya untuk bersama parti itu.

“Dengan kehadiran beberapa tokoh seperti Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim, ia menunjukkan perubahan pendekatan Pas yang lebih inklusif,” katanya.

Pada 2022, Hamidah ketika itu Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengumumkan keluar parti serta-merta selepas kecewa dengan keputusan Presiden Putra menyertai Gabungan Tanah Air (GTA) yang diterajui Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Hamidah berharap, pengalamannya dalam dunia politik hampir dua dekad, dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh Pas terutama dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU).

"Saya berharap kehadiran saya dapat menyumbang kepada kemenangan Pas dalam pilihan raya akan datang...untuk bertanding (kerusi), setakat ini saya tidak memikirkan ke arah itu," katanya.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini mengumumkan penyertaan beberapa tokoh ke dalam parti itu termasuk bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim dan Profesor Dr Md Nasir Ibrahim.

Turut menyertai Pas ialah beberapa bekas pemimpin UMNO antaranya bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Padang Serai, Saiful Azli Saiful Rizwan; bekas Setiausaha UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Ahmad Tarmizi Musa dan bekas Exco Pemuda UMNO, Mustapha Shah.

Menurut Takiyuddin, kemasukan tokoh-tokoh berkenaan mencerminkan keyakinan terhadap perjuangan Pas menjelang PRN yang akan diadakan dalam masa terdekat.