Lebih RM21 bilion projek pengangkutan Pulau Pinang hasil usaha Anthony - Guan Eng

Iklan
Lim Guan Eng

GEORGE TOWN – Lebih RM21 bilion projek pengangkutan di Pulau Pinang yang mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan menjadi antara sumbangan besar Anthony Loke sepanjang menerajui Kementerian Pengangkutan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng berkata, projek berkenaan termasuk Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM16.8 bilion serta beberapa projek pengembangan infrastruktur pengangkutan lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kelulusan itu turut melibatkan RM1.55 bilion bagi pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), RM30 juta untuk stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), RM2.2 bilion bagi Penang Port dan RM500 juta untuk Swettenham Pier.

“Beliau (Anthony) dalam kapasiti sebagai Menteri Pengangkutan, bertanggungjawab mendapatkan kelulusan kerajaan Persekutuan bagi projek pengangkutan bernilai lebih RM21 bilion di Pulau Pinang.

Iklan

“Peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pengangkutan akan menjadi satu kehilangan besar kepada Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Lebih RM21 bilion projek pengangkutan di Pulau Pinang adalah hasil usaha Anthony

Iklan

Terdahulu, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan hasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian parti berhubung keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengumuman itu dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bermesyuarat selama hampir tiga jam bagi membincangkan pendirian parti berhubung keputusan tersebut pada 19 September lalu.

Bagaimanapun, keputusan itu hanya membabitkan Anthony sebagai anggota Jemaah Menteri manakala menteri dan timbalan menteri daripada DAP lain kekal dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan politik dan pentadbiran kerajaan terus berjalan.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, keputusan Anthony itu dibuat bagi menunjukkan pendirian tegas parti berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta usaha memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap skandal berkenaan dikenakan hukuman.

Menurutnya, peletakan jawatan itu turut mencerminkan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan keputusan pengampunan diraja terhadap Najib yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

“Beliau meletakkan jawatan bagi menunjukkan pendirian teguh parti terhadap skandal RM52 bilion 1MDB, sama ada ketika berada dalam pembangkang atau kerajaan, untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal kewangan terbesar dalam sejarah.

“Peletakan jawatannya menonjolkan ketidaksetujuan secara sopan parti terhadap pengampunan diraja yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu,” katanya.

Guan Eng turut menyifatkan Anthony sebagai antara Menteri Pengangkutan yang paling berkesan berdasarkan jumlah projek pengangkutan yang berjaya mendapat kelulusan untuk Pulau Pinang.

“Dengan RM21 bilion projek pengangkutan yang diluluskan di Pulau Pinang, beliau mungkin merupakan menteri paling berkesan yang melakukan paling banyak untuk Pulau Pinang berbanding barisan Menteri Pengangkutan daripada MCA sebelum ini.

“Seramai 1.8 juta rakyat Pulau Pinang menghargai pengorbanan Anthony melepaskan jawatan menteri demi prinsip dan pastinya berterima kasih atas sumbangan besar beliau kepada Pulau Pinang,” katanya.

Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Isnin memaklumkan Anthony meneruskan program rasmi di China seperti dijadualkan sebelum kembali ke Malaysia untuk menguruskan proses peletakan jawatannya.

Beliau dijadual mewakili Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-12 di Beijing selain menghadiri beberapa pertemuan dua hala dan pemeteraian dua memorandum persefahaman.

MOT turut menegaskan segala urusan dan tanggungjawab kementerian akan terus dilaksanakan seperti biasa secara profesional dan teratur.