Dua mayat ditemui dalam longgokan sampah

Iklan
Dua mayat lelaki ditemukan terapung dalam longgokan sampah di permukaan Sungai Jeragan berhampiran Titi Tandop. Foto Bomba

ALOR SETAR – Dua mayat lelaki ditemukan terapung di permukaan Sungai Jeragan berhampiran Titi Tandop, di sini pada Ahad.

Mangsa dikenal pasti sebagai Saw Chee Wan, 16, dan N Thiagarah @ Muhammad Amin, 46.

Iklan
Iklan

Ketua Zon Kota Setar, Pegawai Bomba Kanan I Ahmad Aminudin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat yang tersangkut pada sampah di permukaan sungai pada jam 8.45 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar bersama bantuan BBP Jalan Raja dikejarkan ke lokasi kejadian.

Iklan

“Setibanya di lokasi pada jam 8.54 pagi, komander operasi mendapati seorang mangsa lelaki dewasa tersangkut pada tumbuhan yang terapung di permukaan sungai berhampiran jambatan.

“Mangsa dipercayai telah meninggal dunia ketika ditemui,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, ketika operasi sedang dijalankan, pihak bomba menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan seorang lagi mangsa terapung di permukaan sungai kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa pertama.

“Pemeriksaan bersama pihak polis mengesahkan terdapat seorang lagi mangsa lelaki yang ditemukan terapung berhampiran Titi MADA.

“Susulan itu, anggota BBP Jalan Raja dengan bantuan bot aluminium telah bergerak ke lokasi kedua untuk membawa naik mangsa,” ujarnya.

Ahmad Aminudin berkata, proses mengangkat mayat pertama pada mulanya ditangguhkan atas permintaan polis bagi membolehkan siasatan awal dijalankan oleh pegawai penyiasat.

Katanya, selepas mendapat kebenaran pihak polis, mayat mangsa pertama dibawa naik ke tebing menggunakan jengkaut sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Mayat mangsa kedua pula dibawa naik menggunakan bot aluminium dan turut diserahkan kepada polis,” katanya.

Operasi yang melibatkan 15 anggota bomba dari BBP Alor Setar dan BBP Jalan Raja serta dibantu 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tamat sepenuhnya pada jam 11.45 pagi.