Peniaga ayam didakwa tipu timbangan

Iklan
Hanif Yusabra (tengah) memberi penerangan kepada peniaga ayam supaya memastikan penimbang tidak tamat tempoh. FOTO: ADILA SHARINNI WAHID

TUMPAT – Meletakkan penimbang lebih jauh atau terlindung daripada pandangan pelanggan dipercayai antara helah yang menjadi trend peniaga ayam untuk menipu sebelum mengenakan caj lebih tinggi, dikesan berlaku di Kelantan sejak dua hingga tiga bulan kebelakangan ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kebanyakan aduan yang diterima pihaknya membabitkan isu penipuan timbangan ayam dengan modus operandi yang hampir sama.

Iklan
Iklan

“Antara aduan yang diterima sejak dua hingga tiga bulan ini ialah harga yang dibayar tidak sama dengan harga yang diiklankan atau dipamerkan oleh peniaga ayam.

“Mereka dakwa dicaj berdasarkan berat yang lebih tinggi berbanding berat sebenar ayam yang dibeli,” katanya pada sidang akhbar sempena tinjauan Op Tiris 4.0 di sempadan di Pengakalan Kubor di sini pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 29 aduan berkaitan peniaga ayam diterima dan disiasat oleh KPDN Kelantan setakat ini.

Daripada hasil pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan, sebanyak 60 kes tindakan undang-undang direkodkan melibatkan peniaga ayam di negeri ini.

Iklan

“Daripada jumlah itu, 49 kes membabitkan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan atau telah tamat tempoh.

“Tujuh kes lagi melibatkan kegagalan mempamerkan tanda harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, manakala empat kes membabitkan kesalahan harga mengelirukan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

Sehubungan itu, Hanif menasihatkan pengguna supaya menjadi lebih peka dengan memerhati sendiri proses timbangan dan tidak membiarkan ia dilakukan di luar penglihatan mereka.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya melihat sendiri proses timbangan.

“Sebagai pengguna yang bijak, mereka perlu memastikan timbangan dilakukan di hadapan dan bukannya di belakang atau di luar penglihatan pembeli,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hanif berkata, KPDN Kelantan turut memperhebat pemantauan menerusi pelaksanaan Ops Kesan 6.0 yang berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos ini bagi memastikan tiada unsur manipulasi harga dalam rantaian bekalan barangan.

Menurutnya, sebanyak 25 premis perniagaan diperiksa dengan 25 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dikeluarkan melibatkan 85 unit penyimpanan stok (SKU).

Katanya, sektor pertanian merekodkan jumlah SKU tertinggi diperiksa iaitu 58 SKU membabitkan pelbagai jenis sayur-sayuran, diikuti sektor petrokimia sebanyak 16 SKU serta baja pertanian dan pembungkusan plastik sebanyak lapan SKU.

“KPDN Kelantan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara tidak munasabah atau melanggar peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.