KOTA SAMARAHAN - Pusat kecantikan spa di sebuah kompleks peniagaan di sini yang dipercayai menawarkan rawatan pergigian haram dibongkar Khamis lalu.
Operasi bermula jam 2 petang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Pergigian Bahagian Kesihatan Pergigian Sarawak dengan kerjasama Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Program Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak memaklumkan, seorang wanita tempatan berusia 48 tahun telah ditahan.
Menurutnya, semasa serbuan didapati suspek sedang memberi rawatan ke atas seorang pesakit di sebuah bilik di spa terbabit.
"Selain rawatan sarung gigi (veneer), suspek juga disyaki menawarkan prosedur kecantikan seperti suntikan botox berdasarkan bahan dan peralatan perubatan yang ditemui," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tambah JKN Sarawak, harga rawatan pergigian sekitar RM600 hingga RM800.
Katanya, kegiatan terbabit disyaki telah beroperasi lebih setahun dengan menawarkan perkhidmatan melalui media sosial.
"Pelanggan yang berminat perlu membayar deposit RM200 hingga RM300 terlebih dahulu untuk temu janji. Selepas bayaran deposit dibuat, baru pelanggan diberi lokasi spa terbabit," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 serta Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.