SHAH ALAM - Seramai 38,953 individu direkodkan mengalami kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh Januari hingga Mei 2026, sekali gus mendorong Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mempergiat pelbagai langkah intervensi bagi membantu golongan terjejas mendapatkan pekerjaan baharu dan meningkatkan kemahiran mereka.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, KESUMA memandang serius peningkatan kes kehilangan pekerjaan yang direkodkan dalam beberapa sektor ekonomi sepanjang lima bulan pertama tahun ini.
Menurutnya, pelbagai langkah intervensi telah dan sedang dipergiat bagi membantu pekerja yang terjejas mendapatkan pekerjaan baharu, meningkatkan kemahiran serta memperkukuh daya tahan pasaran buruh negara dalam menghadapi krisis geopolitik global.
"Analisis menunjukkan sebahagian besar kes melibatkan pekerja berumur antara 25 hingga 39 tahun. Mengikut jantina, lelaki mencatatkan 23,536 kes atau 60.4 peratus, manakala wanita merekodkan 15,417 kes atau 39.6 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh tersebut tertumpu dalam beberapa sektor utama ekonomi, khususnya sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor, selain aktiviti pentadbiran serta khidmat sokongan.
Jelasnya, keadaan itu sebahagian besarnya dipengaruhi oleh langkah penstrukturan semula organisasi dan pelarasan operasi perniagaan yang dilaksanakan syarikat bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi semasa.
Bagaimanapun, Ramanan berkata, pasaran buruh Malaysia kekal menunjukkan ketahanan yang kukuh meskipun berdepan cabaran tersebut.
Menurutnya, pada April 2026, jumlah tenaga buruh negara mencecah 17.33 juta orang dengan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 peratus.
"Kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) pula berada pada 70.9 peratus merangkumi 82.9 peratus bagi lelaki dan 57.3 peratus bagi wanita. Prestasi ini mencerminkan asas pasaran buruh yang masih kekal stabil serta berdaya tahan," ujarnya lagi.
Beliau berpandangan, peningkatan kes kehilangan pekerjaan menuntut usaha mempercepatkan peralihan tenaga kerja ke sektor yang mempunyai permintaan lebih tinggi.
"Memandangkan sebahagian besar individu terjejas terdiri daripada golongan muda dan berkelayakan, tumpuan diberikan kepada penyelarasan kemahiran dengan keperluan industri masa hadapan melalui program peningkatan kemahiran serta latihan semula," katanya.
Justeru, Ramanan memberitahu, pekerja turut digalakkan memanfaatkan platform seperti Labour Market Exchange (LMX) dan MYFutureJobs Galaxy bagi mendapatkan maklumat pasaran buruh lebih komprehensif serta merancang laluan kerjaya bersesuaian.
Dalam perkembangan sama, menurutnya, KESUMA melaksanakan pelbagai inisiatif berteraskan tiga fokus utama iaitu peralihan kerjaya dan sokongan kerjaya, program peningkatan kemahiran serta intervensi awal untuk sektor kritikal bagi memastikan pekerja terjejas mendapat sokongan menyeluruh,
Beliau memaklumkan, platform MYFutureJobs akan terus menghubungkan pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan peluang pekerjaan bersesuaian.
"Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan program latihan bagi membina kemahiran baharu atau meningkatkan kemahiran sedia ada selaras dengan keperluan sektor yang berkembang," kongsinya.
Ramanan menambah, PERKESO juga mengenal pasti sektor berpotensi terjejas dan melaksanakan intervensi awal bagi memastikan pekerja dapat menyesuaikan diri dengan cepat, memanfaatkan peluang peralihan kerjaya serta memperkukuh daya saing mereka.
"KESUMA akan terus memantau trend pasaran buruh secara berterusan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi merangka intervensi menyeluruh, mengurangkan impak kehilangan pekerjaan serta memperkukuh daya saing tenaga kerja negara," katanya.