SHAH ALAM - Lebih 300 bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan rakan-rakan di Lembah Pantai akan menyertai Pas dalam masa terdekat, kata mantan Ketua Bahagian Bersatu kawasan tersebut, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Beliau yang baharu sahaja menyertai Pas secara rasmi pada Sabtu menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha pembaharuan politik di bawah gagasan Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi gerakan 'Reset'.
Menurut bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO itu juga, 'Reset' selaras dengan aspirasi memperkukuhkan agenda Melayu-Islam dan kestabilan negara.
Muhamad Muqharabbin memaklumkan turut menyambut baik penubuhan Parti Wawasan Negara yang diumumkan oleh Hamzah di Tanah Merah, Kelantan di samping berharap kerjasama strategik antara parti-parti Melayu dapat diperkasakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Saya mendoakan Pas, UMNO dan Parti Wawasan Negara dapat mencapai titik persefahaman serta kerjasama yang kukuh demi kepentingan umat Melayu serta agama Islam.
"Penyatuan ummah perlu menjadi agenda utama supaya sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berpaksikan kepentingan rakyat dapat dibentuk pada PRU16 nanti.
"Tumpuan kita bukan sekadar memenangi pilihan raya, tetapi memastikan agenda penyatuan ummah, pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan secara bersama," katanya dalam kenyataan.
Muhamad Muqharabbin menerima watikah keahlian Pas daripada Timbalan Presiden parti berkenaan iaitu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di markas Pas Kawasan Seremban.
Jelas beliau, keputusan untuk menyertai Pas dibuat selepas perbincangan dan kesepakatan bersama pimpinan serta ketua-ketua cawangan yang sebelum ini bersamanya di Lembah Pantai.
"Saya mengambil keputusan untuk sertai Pas setelah meneliti landskap politik semasa serta berbincang dengan rakan-rakan perjuangan di peringkat akar umbi.
"Insya-ALLAH, lebih 300 bekas ahli Bersatu dan kawan-kawan di Lembah Pantai akan turut menyertai PAS dalam masa terdekat," ujar Penjelajah Grand Slam Negara itu lagi.