SHAH ALAM - Lebih 3,000 kanak-kanak daripada rangkaian Al Kauthar Eduqids (AKE) seluruh Lembah Klang berhimpun dalam program AKE Kids Hajj 2026 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Sabtu.
Ia menjadikan program tersebut antara simulasi pendidikan Islam kanak-kanak terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.
Program berkonsepkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) itu memberi peluang kepada kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun memahami konsep ibadah, disiplin, kepatuhan dan nilai murni.
Mereka berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti simulasi yang menggambarkan perjalanan ibadah haji iaitu ihram, wukuf di Arafah, mabit (Mudszalifah), melontar jamrah, tawaf (Kaabah, saei (Safa dan Marwa), tahallul, dan sembelihan korban.
Setiap aktiviti disampaikan melalui pendekatan interaktif yang memudahkan kanak-kanak memahami makna dan tujuan di sebalik setiap rukun serta amalan haji, bersesuaian dengan umur mereka.
Selain memberi pendedahan awal mengenai ibadah haji, program ini turut mendidik peserta mengenai nilai kesabaran, kerjasama dan kepatuhan kepada arahan.
Kanak-kanak dilihat beratur dengan tertib, menunggu giliran dan mengikuti setiap aktiviti dengan penuh disiplin, sekali gus membentuk sahsiah positif dalam diri mereka.
Penganjuran yang teratur dan tersusun membolehkan kanak-kanak mengikuti setiap modul dengan mudah, menjadikan AKE Kids Hajj 2026 bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga berkesan dalam meningkatkan kefahaman mereka mengenai ibadah haji sejak usia muda.
Penambahbaikan AKE Kids Hajj lancar perjalanan program
Pemilik AKE Puncak Alam, Nuliza Rosli berkata, menerusi program tersebut terdapat lapan 'checkpoint' yang perlu dilalui peserta bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai perjalanan ibadah haji.
Beliau berkata, bagi memastikan setiap peserta dapat melalui semua checkpoint dengan lebih teratur dan selesa, penganjuran tahun ini telah melakukan beberapa penambahbaikan berbanding sebelumnya.
Katanya, antara penambahbaikan yang dibuat adalah penyediaan laluan keutamaan (priority line) bagi memudahkan pergerakan peserta, khususnya kanak-kanak berkeperluan khas.
“Alhamdulillah, seperti tahun lalu, ibu bapa memberikan sokongan yang sangat baik. Malah, tahun ini mereka gembira dengan penambahbaikan yang dilakukan.
“Kita juga mengubah sistem pergerakan peserta yang tidak lagi mengikut cawangan. Peserta yang tiba lebih awal boleh terus memulakan simulasi tanpa perlu menunggu lama.
“Penambahbaikan itu menjadikan perjalanan program lebih lancar, sekali gus membolehkan kanak-kanak dan ibu bapa mengikuti setiap aktiviti dengan lebih selesa,” katanya.
Sementara itu, Pemilik AKE Gapimas, Megat Mohd Farid Zolkarnain berpendapat, simulasi haji yang merupakan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman akan memberi impak lebih mendalam kepada kanak-kanak.
Menurutnya, ini kerana mereka bukan sekadar mendengar penerangan, malah berpeluang menyertai sendiri setiap aktiviti yang disusun mengikut perjalanan ibadah haji sebenar.
Mengulas lanjut beliau berkata, biasanya anak-anak dan ibu bapa hanya mengetahui mengenai ibadah haji melalui televisyen, buku atau media sosial.
"Namun apabila simulasi seperti ini dijalankan, mereka dapat melihat dan merasai sendiri bagaimana proses bertawaf, bersaie dan melontar jamrah dilakukan. Ia memberi gambaran yang lebih jelas mengenai ibadah haji.
"Sebab itu persediaan dibuat lebih awal. Pihak pengurusan pusat telah dimaklumkan kira-kira dua bulan sebelum program berlangsung dan dalam tempoh itu anak-anak turut menjalani latihan serta simulasi di pusat masing-masing," ulasnya.
Dalam masa sama beliau berkata, program ini bukan hanya untuk anak-anak, tetapi juga memberi peluang kepada ibu bapa meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
"Nilai kebersamaan dan ikatan kekeluargaan itu sangat penting. Itu antara matlamat utama program ini dilaksanakan,” katanya.
REAKSI
“Saya rasa bertuah kerana dapat meluangkan masa bersama anak-anak, walaupun program ini untuk anak bongsu, saya turut membawa kakaknya bersama bagi merasai pengalaman haji. Sejak semalam lagi, anak teruja malah sudah mencuba memakai ihram dan bangun awal untuk membuat persediaan.” - Roslizam Zariza Abdul Rahman, 38
“Saya sangat gembira dapat jumpa kawan-kawan dan belajar cara menunaikan haji, dapat tengok replika kaabah rasa seronok sangat. Kalau ada lagi aktiviti macam ini, saya nak sertainya.” - Nur Yumna Aireen Mohd Nurazreen Imran, 6, pelajar
“Saya rasa program ini sangat bagus untuk anak-anak kerana ia memberi pendedahan awal tentang proses haji. Ia memberi kesan positif kerana kita sebagai umat Islam memang perlu tahu perkara ini sejak kecil, jadi terima kasih kepada penganjur dan guru-guru AKE.” - Mohammad Haikhal Che Ani, 35
“Saya seronok memakai pakaian ihram dan melakukan aktiviti seperti tawaf bersama kawan-kawan. Pengalaman ini membuatkan saya lebih faham tentang ibadah haji dan berasa bangga.” - Muzhir Adamiy Muhammad Azharuzamin, 6, pelajar