KUANTAN- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesahkan tiada pencemaran asid berlaku di Sungai Cerating di sini susulan kejadian tumpahan asid hidroklorik dari lori tangki yang terbalik di Jalan Kuantan-Kemaman dekat Jambatan Cerating pada Sabtu.
JAS Pahang menjelaskan, jarak lokasi lori tangki terbalik dengan Sungai Cerating kira-kira 100 meter.
Menurutnya, ujian air telah dijalankan di tiga lokasi di kawasan paya bakau sebelum memasuki Sungai Cherating dan mendapati bacaan pH normal iaitu pH 6.
"Manakala pemantauan bacaan pH dengan menggunakan peralatan YSI di Sungai Cerating mendapati bacaan pH air sungai adalah pH 9.4 menunjukkan tiada pencemaran asid berlaku," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Menurut agensi itu, susulan aduan berkenaan kemalangan melibatkan sebuah lori tangki membawa asid hidroklorik (HCL) berhampiran jambatan Cerating pada jam 8:45 pagi, penguatkuasa JAS telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan, siasatan serta penilaian awal terhadap kemungkinan impak terhadap alam sekitar.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati lori tangki membawa hampir 25 tan produk asid hidroklorik dalam perjalanan dari Pasir Gudang,Johor ke Kemaman,Terengganu terbalik.
"Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) telah berjaya menutup lubang angin di bahagian belakang tangki bagi mengelakkan tumpahan yang banyak.
"Anggaran tumpahan kira-kira 1,000 liter dan telah dineutralkan menggunakan soda ash dan tiada tumpahan lain dikesan," ujarnya.
Tegas agensi itu, sebarang pelepasan bahan pencemar yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] akan disiasat dengan teliti.
Katanya, sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap peruntukan akta tersebut, tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
"JAS akan terus menjalankan pemantauan berkala di lokasi kejadian dan kawasan sekitarnya bagi memastikan tiada kesan pencemaran berlaku serta memastikan semua langkah kawalan dan pembersihan dilaksanakan sepenuhnya mengikut keperluan yang ditetapkan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar disaran menyalurkan aduan kepada JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, sistem e-Aduan JAS atau mana mana saluran rasmi Jabatan," ujarnya.