KOTA KINABALU - Persatuan Wartawan Sabah (SJA) mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan untuk meneroka lebih banyak pelaburan dalam sektor media termasuk melalui pembelian ruang media (media buy) bagi memastikan kelangsungan industri kewartawanan yang semakin berdepan cabaran semasa.
Presidennya, Mariah Doksil berkata, untuk terus bertahan dalam industri media, semua pihak perlu melihat isu tersebut dari sudut ekonomi kewartawanan, terutama dalam era yang dipengaruhi perkembangan teknologi, media sosial dan kecerdasan buatan (AI).
"Saya ingin berkongsi sedikit berkenaan cabaran dunia kewartawanan pada hari ini. Kita sedia maklum berkenaan peranan teknologi, media sosial dan AI yang telah banyak mengubah landskap media ketika ini sehingga perbualan harian sering bermula dengan persoalan 'betulkah ini cerita?'.
"Setiap berita yang dikongsikan pada zaman ini akan disusuli pertanyaan 'betulkah ini?'. Sehinggalah media arus perdana melaporkannya, barulah rakyat akan percaya, 'oh memang betul, berita sudah keluar'.
"Semua orang mahukan berita yang boleh dipercayai. Namun, hanya segelintir yang sanggup membayarnya. Kenapa kita boleh berbelanja kopi matcha RM10 sehari, tetapi langganan akhbar RM1.50 sehari sangat sukar? Jika kita mahu terus bertahan, mahu tidak mahu kita perlu melihat kepada ekonomi dalam kewartawanan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2026 di sini pada malam Sabtu.
Menurut Mariah lagi, kewartawanan yang berkualiti memerlukan kos kerana setiap laporan perlu melalui proses penyelidikan, semakan fakta dan pengesahan maklumat sebelum disiarkan kepada umum.
"Apabila wartawan menyiasat sesuatu, mereka meluangkan masa untuk kajian, mereka semak fakta, mereka berjumpa sumber kerana kita mahu maklumat yang tepat.
"Proses menghasilkan berita yang baik datang dengan kos tertentu dan memerlukan penelitian yang rapi. Sedangkan keselamatan dan kebajikan wartawan juga ada kosnya," katanya.
Katanya, pada masa lalu kebanyakan organisasi media menampung kos operasi melalui hasil pengiklanan yang disiarkan di akhbar, radio dan televisyen.
"Iklan yang disiarkan oleh syarikat-syarikat di akhbar, radio dan televisyen menjadi sumber kewangan penting yang membolehkan bilik berita terus berfungsi.
"Kini, wang lebih banyak dilaburkan ke media sosial. Dalam masa yang sama, masyarakat menggunakan lebih banyak berita dalam talian, namun mereka mahukan kandungan secara percuma. Perkara ini menyukarkan organisasi media untuk bertahan sekali gus menjejaskan kebajikan wartawan.
"Pencipta kandungan boleh menghasilkan banyak video dan membuat hantaran dengan pantas untuk mendapatkan perhatian. Manakala wartawan memerlukan masa untuk mengesahkan maklumat, menyunting dan menyiarkan laporan. Kedua-duanya memainkan peranan dalam ruang maklumat, tetapi tanggungjawab mereka adalah berbeza.
"Persoalan yang lebih besar sekarang ialah, jika masyarakat mahukan kewartawanan yang berwibawa, yang menyiasat isu dan memastikan pemimpin bertanggungjawab, siapa yang akan membayarnya?
"Kerana tanpa sokongan kewangan, semakin sukar untuk wartawan menjalankan tugas yang memastikan rakyat sentiasa mendapat maklumat yang tepat dan sahih," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri, kementerian dan agensi kerajaan memperuntukkan dana bagi pembelian ruang media untuk membantu mewujudkan ekosistem yang saling menguntungkan antara pihak kerajaan dan organisasi media.
"Saya mencadangkan agar kementerian-kementerian yang rajin menghantar siaran akhbar dan kerap menjemput wartawan membuat liputan aktiviti mereka supaya mengaktifkan dana untuk media buy agar kita dapat mewujudkan ekosistem yang menang-menang.
"Bayangkan dalam sehari berapa banyak kenyataan media yang dikeluarkan. Jika dikira nilai ruang yang diberikan media, jumlahnya boleh mencecah jutaan ringgit setahun, tetapi pulangan kepada organisasi media agak kecil berbanding dana yang dilaburkan kepada pencipta kandungan atau pempengaruh.
"Namun, ini adalah pemerhatian saya secara kasar," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mariah turut mengumumkan bahawa SJA akan memperkenalkan kategori baharu iaitu Mobile Journalism (MOJO) bermula tahun hadapan bagi menggalakkan lebih ramai pengamal media meneroka pendekatan tersebut.
"Kepada pengamal media di Sabah, SJA juga mencadangkan agar kita mula meneroka Mobile Journalism atau MOJO.
"Memang sudah ada yang berkecimpung dalam MOJO di Sabah, namun jumlahnya masih sedikit. Kita tidak boleh ketinggalan dan perlu meneroka MOJO untuk kekal relevan di mata masyarakat.
"Maka sebagai galakan kepada perkembangan MOJO di Sabah, kita akan memperkenalkan Anugerah MOJO pada KPA 2027. Kita membuat pengumuman awal supaya anda semua mempunyai masa yang mencukupi untuk merancang laporan MOJO bagi dipertandingkan pada tahun hadapan," katanya.
Sementara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong industri media termasuk melalui tajaan kewangan kepada penganjuran KPA.
Menurutnya, sejak tahun 2025, sumbangan tajaan bagi penganjuran KPA telah meningkat kepada RM110,000 berbanding RM100,000 pada tahun 2024.
"Peningkatan sumbangan tajaan ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa menghargai dan mengiktiraf sumbangan wartawan sekali gus menyokong segala usaha ke arah kecemerlangan pengamal media di negeri ini.
"Oleh itu, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan sebagai penaja utama untuk majlis ini. Kerajaan negeri terus menjadi penyumbang utama tajaan kepada KPA pada tahun ini," katanya ketika menyampaikan ucapan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Tambah beliau, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan wartawan sebagai rakan strategik dalam menyampaikan dasar dan kejayaan pembangunan kerajaan kepada rakyat.
"Pelaporan berita khususnya mengenai Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya telah digalas dengan sebaiknya. Malah, pada saat-saat sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sehingga berakhirnya Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tahun lalu, pengamal media terlibat secara langsung khususnya dalam aspek pelaporan berita.
"Saya sendiri melihat secara dekat bagaimana pengamal media bekerja keras, bertugas lebih masa, mengejar berita dari pelbagai sudut dan memastikan setiap laporan yang disampaikan tepat serta berintegriti tinggi demi kepentingan rakyat.
"Sepanjang tempoh itu juga, saya dapat melihat pengamal media bekerja tanpa mengira waktu, termasuk berhujan dan berpanas bagi melaporkan setiap perkembangan semasa. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua pengamal media atas komitmen dalam menjalankan tugas mereka," katanya.
Walaupun kepantasan penyampaian berita menjadi keutamaan, beliau menegaskan bahawa ketepatan dan kesahihan fakta tidak boleh dikompromi.
"Justeru, saya ingin menyeru kepada semua pengamal media agar terus menjalankan tugas dengan penuh integriti, berlandaskan prinsip kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab.
"Pengamal media juga perlu sentiasa melaporkan berita yang tepat, telus, beretika dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu," katanya.