LONDON - Seorang lelaki berdarah India, Gagandeep Singh, dijatuhi hukuman penjara 34 tahun oleh mahkamah United Kingdom pada Jumaat, selepas didapati bersalah menculik, mendera dan merogol seorang wanita di London.
Singh, 34, disabitkan bersalah pada Februari lalu atas dua pertuduhan rogol, penculikan, kurungan salah dan menyebabkan kecederaan parah dengan niat selepas perbicaraan di Mahkamah Crown Isleworth.
Mahkamah memutuskan suspek perlu menjalani hukuman penjara selama 28 tahun sebelum layak menjalani baki hukuman di bawah lesen tambahan selama enam tahun dengan kawalan ketat.
Dia hanya boleh dipertimbangkan untuk parol selepas sekurang-kurangnya 18 tahun menjalani hukuman.
Menurut Polis Metropolitan London, kes bermula pada Jun 2024 apabila mangsa berusia 24 tahun menjadi curiga selepas diminta membawa sebuah beg pakaian berisi barangan tidak diketahui dari Thailand ke United Kingdom.
Selepas mangsa enggan, sekumpulan lelaki bertopeng dipercayai memaksanya masuk ke dalam sebuah kenderaan sebaik tiba di Lapangan Terbang Birmingham sebelum dibawa ke sebuah rumah di Hanwell, barat London.
Mahkamah turut diberitahu mangsa kemudiannya menjadi mangsa penderaan berpanjangan dan dirogol sebanyak dua kali oleh Singh.
Mangsa mengalami penderaan selama lebih 24 jam termasuk dipukul, ditampar, diikat, disebat dan dibakar sebelum akhirnya dibebaskan dengan amaran supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Siasatan mendapati mangsa pada awalnya enggan memberikan keterangan penuh kerana trauma dan bimbang terhadap keselamatannya.
Namun, dengan bantuan ibu serta pegawai polis, mangsa akhirnya tampil memberikan keterangan lengkap mengenai kejadian tersebut.
Pegawai penyiasat, Detektif Konstabel Seetara Abdul memuji keberanian mangsa yang tampil membantu siasatan sehingga membawa kepada sabitan terhadap suspek.
Beliau menyifatkan kekejaman yang dialami mangsa sebagai tidak berperikemanusiaan dan berkata tekanan serta ugutan terhadap mangsa bertujuan menghalang beliau mendapatkan keadilan.
Siasatan kes ini turut menemui bukti penting apabila ibu mangsa menyimpan pakaian yang dipakai ketika kejadian, sebelum analisis forensik mengesahkan padanan DNA yang mengaitkan Singh dengan jenayah berkenaan.
Dalam kenyataan kepada polis, mangsa berkata pada awalnya beliau takut untuk membuat laporan kerana bimbang akan keselamatan dirinya dan orang sekeliling.
Namun, beliau memberi penghargaan kepada ibunya yang tidak berputus asa dan terus menggesanya mendapatkan keadilan sehingga kes berjaya dibawa ke muka pengadilan.
Ibu mangsa turut memuji Polis Metropolitan atas tindakan profesional dan sensitif dalam mengendalikan kes berkenaan, selain menyifatkan penahanan suspek sebagai memberi kelegaan kepada keluarga. - Agensi