SHAH ALAM – Pas selesai mengadakan perbincangan mengenai hala tuju bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) dan dijangka mengumumkan pendiriannya minggu ini.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, komponen dalam gabungan itu akan kekal bersama dan langkah ke hadapan turut dirangka bagi memastikan kerjasama politik antara parti yang terlibat terus kukuh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Pas mengambil masa yang panjang untuk memperkasa hala tuju PRU16. Pelbagai ikhtiar telah dibuat. Kini masa untuk bergerak ke hadapan.
“Ahli dan penyokong Pas tidak perlu terlalu tertumpu kepada polemik yang sengaja dicetuskan, yang bertujuan mengganggu perjalanan dan perjuangan Pas. Ayuh, mara ke hadapan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial pada Sabtu.
Pada 8 Jun lalu, Pas mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jawatankuasa berkenaan mengesahkan keputusan Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung dasar, pertimbangan agama dan kepentingan awam dalam kerjasama politik Pas yang berasaskan prinsip perpaduan umat Islam.
Dalam perkembangan sama, Annuar memaklumkan bahawa usaha memperluaskan kerjasama politik turut akan diteruskan dengan membuka ruang kepada pihak yang sebelum ini berdepan sekatan untuk menyertai gabungan yang lebih besar.
Menurutnya, pintu rundingan akan dibuka seluas-luasnya kepada rakan politik yang mempunyai aspirasi dan matlamat yang sehaluan demi kepentingan negara.
“Seterusnya, usaha muafakat dan kerjasama bagi membina teras serta tunjang politik negara bakal dimuktamadkan.
“Payung besar dibuka. Agenda besar untuk negara digarap semula. Sesungguhnya, ‘Malaysia Deserves Better’,” katanya.