Kasut bola Jude Bellingham, Harry Kane 'kena rembat'

Iklan
Gambar AI yang memaparkan situasi pasukan England yang menjadi mangsa kecurian di kem latihan mereka di Kansas City.

PASUKAN England dilaporkan menjadi mangsa kecurian peralatan latihan apabila beberapa barangan termasuk but pemain dan bola rasmi kejohanan hilang ketika dalam proses penghantaran dari Florida ke kem latihan mereka di Kansas City, Missouri.

Kejadian itu berlaku sebelum sesi latihan pertama skuad kendalian Thomas Tuchel di Swope Soccer Village yang menjadi pangkalan pasukan itu sepanjang kempen awal Piala Dunia.

Iklan
Iklan

Menurut laporan, antara barangan yang hilang termasuk but pemain utama serta peralatan latihan penting.

Sumber turut memaklumkan hanya satu bola sepak ditemui semula dalam muatan tersebut.

Iklan

Antara pemain yang dipercayai terkesan ialah Harry Kane dan Jude Bellingham, namun tahap sebenar kehilangan masih dalam siasatan.

Pihak polis Kansas City memaklumkan bahawa satu siasatan sedang dijalankan selepas sebuah kenderaan pasukan tiba dengan sebahagian barangan didapati hilang dan seorang individu telah ditahan bagi membantu siasatan.

Iklan

Persatuan Bolasepak England (FA) sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta mendapatkan semula barangan yang hilang.

Siasatan turut melibatkan kemungkinan penglibatan pihak yang mengendalikan penghantaran peralatan tersebut.

England dijadualkan memulakan kempen Piala Dunia menentang Croatia pada Khamis ini (4 pagi waktu Malaysia) dan insiden itu dianggap memberi cabaran tambahan kepada persiapan pasukan.

Tuchel (tengah) - Foto: Agensi

England tiba ke Piala Dunia kali ini dengan reputasi sebagai antara pencabar utama selepas menunjukkan prestasi konsisten sejak Thomas Tuchel mengambil alih tugas pengendali pasukan pada awal tahun ini.

Di bawah kendalian jurulatih dari Jerman itu, Three Lions mempamerkan aksi meyakinkan dalam beberapa perlawanan kelayakan dan persahabatan antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan penyokong bahawa mereka mampu melangkah jauh dalam kejohanan tersebut.

Kapten pasukan, Harry Kane kekal menjadi sandaran utama di bahagian serangan selepas sekali lagi menikmati musim cemerlang di peringkat kelab, manakala Jude Bellingham terus dianggap antara tonggak paling penting dalam perancangan Tuchel di bahagian tengah.

England juga membawa gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda ke Amerika Syarikat dengan sasaran menamatkan penantian panjang menjulang trofi utama sejak menjuarai Piala Dunia pada 1966.

Pada edisi lalu di Qatar, England mara sehingga peringkat suku akhir sebelum disingkirkan Perancis, keputusan yang menyebabkan mereka sekali lagi gagal menamatkan kemarau kejuaraan di pentas antarabangsa.

Justeru, sebarang gangguan terhadap persiapan pasukan menjelang aksi pembukaan menentang Croatia pastinya tidak diingini kem England yang mahu memulakan kempen dengan langkah kanan dalam saingan Kumpulan L.