BERA - Jemaah Masjid Al-Taqwa, Felda Triang 3 dan Masjid Al-Hidayah Felda Triang 1 di sini dikejutkan dengan kejadian pecah tabung derma disyaki dilakukan dua lelaki tidak dikenali pada awal pagi Jumaat.
Dalam dua kejadian itu, sembilan tabung dari kedua-dua masjid berkenaan telah dipecahkan dengan wang yang hilang dianggarkan RM2,500.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, kelibat dua suspek berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Masjid Al-Taqwa, Felda Triang 3.
Menurutnya, berdasarkan rakaman itu, terdapat kelibat suspek menaiki motosikal jenis Honda EX5 berada di pekarangan masjid kira-kira jam 4.50 pagi hari berkenaan.
"Salah seorang suspek memakai topi keledar dan bersarung tangan telah masuk ke dalam masjid lalu memecahkan tabung sebelum melarikan wang di dalamnya.
"Kejadian itu hanya disedari imam masjid (pengadu) kira-kira jam 6.30 pagi selepas dihubungi jemaah memaklumkan tabung masjid dipecahkan," katanya.
Zulkiflee berkata, pemeriksaan lanjut mendapati empat daripada enam tabung masjid berkenaan telah dipecahkan.
"Kali terakhir duit tabung tersebut diambil pada Sabtu lalu.
"Pengadu mendakwa anggaran wang hasil derma termasuk kutipan Jumaat lalu dalam empat tabung tersebut kira-kira RM 1,000 berdasarkan purata hasil kutipan pada setiap minggu," katanya.
Sementara itu katanya, kejadian pecah tabung Masjid Felda Triang 1 yang dilaporkan sebelum itu disyaki dilakukan suspek sama.
Beliau berkata, kejadian itu disedari pengerusi masjid (pengadu) kira-kira jam 5.30 pagi semasa sampai ke masjid itu untuk solat Subuh berjemaah.
"Pengadu mendapati lima tabung yang diletakkan di masjid telah ditebuk dan diumpil manakala wang dianggarkan berjumlah RM1,500 di dalamnya lesap.
"Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati, CCTV masjid tidak berfungsi, rosak akibat terkena petir baru-baru ini.
"Siasatan juga mendapati tiada saksi bebas yang melihat kejadian tersebut," katanya.
Tambah beliau, berdasarkan pengadu, masjid tersebut tidak dikunci sebaliknya pagar serta pintu masjid hanya dirapatkan bagi memudahkan penduduk kampung masuk untuk menunaikan solat.
"Kali terakhir duit kutipan dalam tabung tersebut diambil adalah pada Jumaat lalu," katanya.
Zulkiflee berkata, kedua-dua kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.