'Saya bersyukur masih hidup, tetapi...' – Mangsa pesawat Air India terhempas

Iklan
Ramesh ketika dilawati oleh Perdana Menteri India Narendra Modi di hospital selepas insiden berkenaan. Foto NDTV

NEW DELHI – [DIKEMAS KINI] Setahun selepas terselamat sebagai satu-satunya mangsa yang hidup dalam nahas pesawat Air India AI171, Viswashkumar Ramesh mengakui kehidupannya masih dibayangi trauma yang mendalam.

Ramesh, 39, berkata, beliau kini berdepan kesukaran untuk tidur, mengalami kebimbangan melampau dan sering dihantui kenangan pahit tragedi yang mengorbankan 260 nyawa itu.

Iklan
Iklan

"Orang ramai melihat saya sebagai individu yang terselamat, tetapi mereka tidak melihat cabaran yang saya hadapi di sebalik pintu tertutup.

"Setahun berlalu, saya masih cuba membina semula kehidupan dan menyara keluarga sebaik mungkin," katanya.

Iklan

Imej Ramesh berjalan keluar dari lokasi nahas dengan kesan darah pada baju-T dan telefon bimbit di tangan pernah menjadi tumpuan media antarabangsa selepas kejadian itu.

Ramesh (dalam bulatan) ketika mencari pertolongan selepas terselamat dalam insiden tersebut. Foto India Today

Iklan

Pesawat Boeing 787 Dreamliner yang dalam penerbangan menuju London membawa 242 individu termasuk 12 kru ketika berlepas dari Ahmedabad, Gujarat pada 12 Jun 2025.

Kira-kira 32 saat selepas berlepas, pesawat itu terhempas ke bangunan asrama dan kafeteria sebuah kolej perubatan.

Tragedi tersebut meragut 260 nyawa, terdiri daripada 241 penumpang dan kru pesawat serta 19 individu yang berada di darat.

Ramesh yang menetap di Leicester, United Kingdom, turut kehilangan adiknya, Ajay, dalam nahas berkenaan.

Menurutnya, tragedi itu mengubah dirinya sebagai seorang insan.

"Saya bersyukur kerana masih hidup, tetapi hakikat untuk terus hidup hanyalah sebahagian daripada cerita.

"Apa yang saya lalui selepas itu jauh lebih sukar untuk digambarkan dengan kata-kata," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini masih bergelut dari segi fizikal, psikologi dan kewangan.

Ramesh telah melantik firma guaman Hudgell Solicitors yang berpangkalan di United Kingdom bagi mewakili kepentingannya dalam meneliti kemungkinan tindakan sivil berkaitan tragedi tersebut.

Pada masa sama, perbincangan dengan wakil Air India mengenai sokongan pemulihan fizikal dan psikologi dilaporkan masih berjalan secara konstruktif.

Jurucakap Air India berkata, syarikat penerbangan itu kekal komited untuk membantu semua pihak yang terkesan akibat tragedi AI171 dengan penuh keprihatinan dan belas ihsan.

Sementara itu, pemimpin komuniti di Leicester serta penasihat keluarga Ramesh, Sanjiv Patel berkata, mangsa berkenaan masih mengalami trauma yang serius.

"Dia tidak mampu meninggalkan rumah tanpa sokongan.

"Trauma yang dialaminya sangat mendalam dan kesannya akan kekal untuk tempoh yang lama, jika bukan sepanjang hayat," katanya.

Menurut Patel, bukan hanya Ramesh yang menderita akibat tragedi tersebut.

"Semua keluarga yang terlibat masih bergelut dengan trauma. Setiap seorang daripada mereka sedang melalui perjalanan yang sukar.

"Bagi Viswash dan keluarganya, kesannya amat dahsyat sehingga sukar dibayangkan," katanya.

Pada Mac lalu, Ramesh turut bertemu wakil Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB) di Ahmedabad bagi membantu siasatan rasmi berhubung nahas tersebut.

AAIB yang membantu siasatan pihak berkuasa India berkata, pihaknya sentiasa mengingati semua mangsa daripada pelbagai negara yang terkesan akibat tragedi itu. -Agensi