100 hari krisis tenaga global: Disiplin dan kesepakatan negara benteng terkuat

Iklan
Melalui mekanisme subsidi bahan api BUDI95 dan BUDI MADANI, kerajaan melindungi isi rumah dan perniagaan daripada tekanan awal akibat kenaikan mendadak harga global. Foto Bernama

DUNIA berdepan krisis tenaga global selama 100 hari. Satu perkara kini semakin jelas: krisis ini bukan lagi sementara.

Konflik semakin meruncing di Asia Barat dan gangguan serius di Selat Hormuz mencetuskan kejutan bekalan ketara. Malah, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyifatkan krisis ini sebagai antara terbesar dalam sejarah pasaran minyak global.

Iklan
Iklan

Kesannya kini menjadi realiti baharu yang perlu diurus secara lebih menyeluruh dan terancang, sama ada dari segi tindak balas kecemasan mahupun pembinaan daya tahan jangka panjang.

Malaysia mendepani krisis ini daripada kedudukan agak kukuh. Ekosistem minyak dan gas negara, kapasiti penapisan domestik serta institusi seperti Petronas memberikan kita penampan yang tidak dimiliki banyak negara jiran di ASEAN.

Iklan

Diplomasi yang proaktif juga membantu memastikan kapal Malaysia dapat melalui perairan terjejas dengan selamat.

Namun, kita perlu jujur. Kekuatan ini memberi masa tetapi tidak menyelesaikan cabaran asas sedang dihadapi.

Iklan

Sejak krisis bermula, harga purata minyak mentah Brent berada sekitar dolar AS$95 hingga dolar AS$100 setong. Pada kemuncaknya, ia pernah melonjak melebihi dolar AS$120 setong. Paras ini cukup tinggi untuk terus memberi tekanan kepada harga barang, rantaian bekalan dan belanjawan isi rumah.

Pada fasa pertama, keutamaan kerajaan jelas iaitu memastikan bekalan tenaga kekal stabil dan mengurangkan kesannya kepada rakyat. Melalui mekanisme subsidi bahan api BUDI95 dan BUDI MADANI, kerajaan melindungi isi rumah dan perniagaan daripada tekanan awal akibat kenaikan mendadak harga global.

Dengan mengekalkan RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter ketika harga pasaran melebihi RM4 seliter, perbelanjaan subsidi bahan api bulanan dilaporkan mencecah RM7.5 bilion pada April, sekali gus memaksa kerajaan memikul beban fiskal yang besar.

Krisis berperingkat

Mungkin ramai beranggapan krisis ini hanya berkaitan harga minyak. Ini merupakan satu salah faham berbahaya.

Hakikatnya, ini ialah krisis bekalan yang kesannya dirasai secara berperingkat. Pada mulanya dirasai di pam minyak. Lama-kelamaan, kesannya merebak kepada kos pengangkutan, harga makanan, perbelanjaan isi rumah dan akhirnya keyakinan ekonomi negara.

Peringkat pertama ialah kenaikan harga minyak dan bahan api, iaitu kesan paling segera dirasai rakyat.

Peringkat kedua ialah tekanan logistik dan rantaian bekalan apabila kos pengangkutan serta penghantaran meningkat.

Peringkat ketiga ialah kenaikan harga makanan, barangan keperluan dan tekanan pendapatan apabila kos lebih tinggi memberi kesan kepada harga bahan mentah petrokimia, baja, sektor pembuatan dan pembinaan.

Peringkat keempat ialah tekanan fiskal dan keyakinan negara. Jika harga kekal tinggi, subsidi diunjurkan menghampiri RM48 bilion setahun akan menyempitkan ruang bagi perbelanjaan kesihatan, pendidikan dan pembangunan.

Krisis berpanjangan juga akan menguji kesabaran serta kepercayaan rakyat. Oleh itu, tumpuan tidak boleh terhenti pada harga di pam minyak semata-mata.

Perbelanjaan awam sahaja tidak memadai

Inilah perkara pokoknya. Krisis berpanjangan tidak boleh diselesaikan hanya melalui perbelanjaan kerajaan.

Ruang fiskal negara mempunyai had. Kekuatan fiskal pula merupakan asas kepada daya tahan negara. Semakin lama krisis berlarutan, semakin besar tekanan perlu ditanggung.

Tanggungjawab untuk bertahan tidak boleh dipikul Kementerian Kewangan semata-mata, ia memerlukan penglibatan semua pihak.

Apa diperlukan sekarang ialah keupayaan bergerak pantas, menyesuaikan dasar mengikut keadaan dan berkongsi kefahaman kepada lapisan masyarakat.

Bagi kerajaan, ini bermakna campur tangan lebih bersasar, tangkas dan bertanggungjawab dari sudut fiskal.

Bagi perniagaan, ini bermakna meningkatkan kecekapan tenaga, mempelbagaikan rantaian bekalan dan membina operasi lebih berdaya tahan.

Bagi isi rumah, ia menuntut penggunaan berhemah serta pengurusan kewangan lebih mantap.

Bagi ahli politik pula, ia menuntut pengurangan percaturan dan tumpuan lebih jelas terhadap kepentingan negara.

Perlindungan bersasar, bukan subsidi pukal

Ketika negara memasuki fasa seterusnya, bentuk sokongan juga perlu berubah.

Daripada perlindungan secara pukal, kita perlu beralih kepada perlindungan lebih bersasar supaya golongan paling rentan terus dibantu ketika subsidi dikurangkan berperingkat.

Instrumen seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan intervensi makanan melalui Jualan Rahmah MADANI akan menjadi antara langkah paling penting.

Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dijangka antara golongan paling terkesan. Mereka berdepan kos logistik dan tenaga meningkat, tekanan aliran tunai serta kenaikan harga input import.

Keutamaan negara untuk fasa seterusnya

Tugas negara dalam bulan mendatang amat jelas. Kita perlu melindungi isi rumah yang rentan, menyokong PMKS dan sektor strategik terkesan, mempertahankan kredibiliti fiskal negara serta memperkukuh keterjaminan tenaga dan makanan.

Dalam masa sama, keyakinan negara perlu terus dipelihara kerana keyakinan hilang amat sukar untuk dipulihkan.

Ini bukan tugas yang mudah, lebih-lebih lagi apabila politik keterlaluan mengalih perhatian daripada ancaman sebenar, iaitu ketidaktentuan tenaga global.

Malaysia pernah melalui tempoh mencabar seperti Krisis Kewangan Asia dan pandemik Covid-19.

Apa yang masih dalam kawalan kita

Daya tahan negara tidak boleh dibina oleh kerajaan semata-mata. Ia memerlukan kepercayaan dan kerjasama semua lapisan masyarakat.

Kita mungkin tidak mampu mengawal kejutan global melanda dunia. Namun, kita masih boleh mengawal disiplin, kesepakatan dan tahap kesiapsiagaan negara.

Faktor-faktor inilah yang akan menentukan sama ada sesebuah negara tenggelam dibadai krisis atau berjaya mengatasinya dengan lebih kukuh.

Gelombang krisis ini mungkin akan terus datang. Namun, jika kita menghadapinya bersama-sama dengan tenang dan tekad yang jelas, ia tidak akan menenggelamkan Malaysia.

*Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)