Perak ulangi momentum pelaburan, catat RM1.76 bilion pada suku pertama 2026

Iklan
Setiap pelaburan yang berjaya dibawa masuk membawa harapan lebih besar untuk membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh ekonomi setempat.

 

IPOH - Perak mengulangi momentum pelaburan positif yang dicatatkan tahun lalu apabila merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM1.76 bilion bagi suku pertama 2026.

Iklan
Iklan

Berdasarkan laporan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah itu meningkat RM340 juta berbanding RM1.42 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan hampir 24 peratus itu mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap prospek ekonomi negeri serta keberkesanan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi memperkukuh persekitaran pelaburan di Perak.

Iklan

Sektor pembuatan menyumbang RM946.7 juta manakala sektor perkhidmatan merekodkan RM818.3 juta, daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Dalam tempoh sama, sebanyak 98 projek pelaburan telah diluluskan di Perak merangkumi pelbagai sektor ekonomi yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan industri, pewujudan peluang pekerjaan dan peningkatan aktiviti ekonomi setempat.

Iklan

Prestasi tersebut turut meneruskan pencapaian memberangsangkan Perak sepanjang tahun lalu apabila negeri ini merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM15.76 bilion menerusi 560 projek, sekali gus meletakkan negeri itu antara destinasi pelaburan yang terus mendapat perhatian pelabur domestik dan asing.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pencapaian berkenaan membuktikan keyakinan berterusan pelabur terhadap kestabilan negeri, keberkesanan dasar yang dilaksanakan serta hala tuju pembangunan di bawah pelan Perak Sejahtera 2030.

Katanya, setiap pelaburan yang berjaya dibawa masuk membawa harapan yang lebih besar untuk membuka peluang pekerjaan, memperkukuh ekonomi setempat dan memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak Perak membina masa depan di negeri sendiri.

"Insya-ALLAH, kerajaan negeri akan terus berusaha menarik pelaburan berkualiti tinggi yang dapat memberi limpahan manfaat kepada rakyat dan memastikan pembangunan Perak terus bergerak di landasan yang tepat," katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Kerajaan negeri sebelum ini turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem pelaburan melalui pembangunan kawasan pertumbuhan strategik, penyediaan infrastruktur sokongan serta pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan industri bernilai tinggi.

Pencapaian suku pertama 2026 itu dilihat sebagai petunjuk awal yang positif kepada prestasi pelaburan negeri bagi keseluruhan tahun ini, sejajar aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan memberi manfaat kepada rakyat.