SEBELUM ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenai rangka kerja kecukupan simpanan persaraan.
Angka-angka yang diumumkan membuatkan ramai tersentak iaitu RM390,000 untuk simpanan asas, RM650,000 untuk simpanan mencukupi dan RM1.3 juta untuk simpanan dipertingkat.
Di media sosial, reaksi segera muncul seperti: “Bagaimana nak capai RM1.3 juta? Gaji sekarang pun tak cukup”, “Simpan RM100 sebulan pun susah, apatah lagi nak capai angka macam tu.”
Ada yang mengira untuk mengumpul RM1.3 juta dalam 30 tahun bekerja, mereka perlu simpan lebih RM3,600 sebulan. Bagi pekerja bergaji sederhana, ini angka yang mustahil.
Dalam usaha merancang masa depan, ramai yang hilang ketenangannya ketika ini. Mereka terjebak dalam apa yang boleh dipanggil sebagai “panik bersara” iaitu satu bentuk keresahan tentang kecukupan wang pada masa hadapan.
Ikhtiar dan tawakal
Hakikatnya, Islam tidak pernah melarang perancangan. Malah, Islam menyuruh kita berikhtiar. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah aku ikat untaku dan bertawakal (kepada ALLAH) atau aku lepaskan dan bertawakal (kepada ALLAH)?" Rasulullah SAW menjawab:"Ikatnya dan bertawakallah (kepada ALLAH).” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Hadis ini jelas iaitu kita mesti mengambil langkah berjaga-jaga, membuat perancangan, menyimpan untuk masa depan, namun mari kita lihat lebih mendalam maksudnya secara tersirat iaitu mengikat unta dan bertawakal.
Penekanan bertawakal selepas diikatnya unta, bukan sebelum dan bukan semasa diikat. Maksudnya, selepas melakukan usaha yang maksimum, kita serah semuanya kepada ALLAH.
Persoalannya, di mana garisan antara ikhtiar yang wajar dengan kebimbangan yang melampau?
ALLAH SWT berfirman dalam ayat kedua dan ketiga surah at-Talaq: “Dan barang siapa bertakwa kepada ALLAH, nescaya DIA akan menjadikan baginya jalan keluar. Dan DIA memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.”
Ayat ini bukan bermaksud kita akan duduk berdiam diri tanpa usaha. Ayat ini mengingatkan bahawa setelah kita berusaha, wujudnya kuasa yang lebih besar yang mengatur.
Rezeki itu akan datang dari arah yang kita tidak jangka, terdapat kemungkinan daripada anak yang soleh, mungkin daripada sedekah yang pernah kita berikan dahulu atau mungkin daripada mana-mana arah yang kita tidak pernah bayangkan.
Kekayaan sebenar
Orang yang memiliki RM1.3 juta namun hatinya sentiasa resah, bukannya termasuk dalam orang kaya. Sebaliknya, orang yang mempunyai RM390,000 dan hatinya tenang dengan qadak dan qadar ALLAH, maka inilah orang yang lebih kaya.
Ini bukan bermakna kita mengabaikan perancangan kewangan. Tidak sama sekali. Sasaran yang diberikan KWSP itu penting sebagai garis panduan mendorong kita lebih berusaha, berjimat serta melabur dengan bijak.
Apa yang perlu kita lakukan adalah jangan sampai usaha merancang itu merosakkan ketenangan jiwa kita ketika ini. Lebih penting lagi, kita perlu faham bahawa sistem persaraan dalam Islam tidak pernah berdiri pada seorang individu sahaja.
Dalam Islam, persaraan merupakan tanggungjawab bersama iaitu tanggungjawab anak terhadap ibu bapa mereka. ALLAH berfirman dalam ayat ke-23 surah al-Israk: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain DIA dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya.”
Apabila kita hanya fokus pada “berapa juta yang perlu aku ada untuk bersara”, kita sebenarnya sedang mengamalkan falsafah individualistik Barat.
Dalam masyarakat Barat, orang tua dijaga oleh sistem welfare state atau simpanan sendiri. Anak tidak wajib menjaga ibu bapa.
Namun dalam Islam, tidak begitu. Anak yang soleh adalah “saham” akhirat dan dunia. Jadi, pelaburan terbesar kita sebenarnya bukanlah semata-mata dalam unit trust atau saham.
Anak yang memahami tanggungjawab kepada ibu bapa merupakan aset yang tidak boleh diukur dengan RM1.3 juta.
Adil dan seimbang
Namun, ini bukanlah bermaksud kita hanya meletakkan beban kepada anak untuk perancangan, sebaliknya kita perlu adil dan seimbang.
Kita berusaha sedaya upaya untuk berdikari dalam menyimpan dan pada masa sama, kita mendidik anak dengan nilai bahawa menjaga ibu bapa bukanlah satu beban, tetapi amanah, tanggungjawab dan jalan ke syurga.
Dalam lanskap global hari ini, kita lihat sandwich generation iaitu generasi yang terhimpit menjaga ibu bapa dan anak serentak. Hal ini berlaku kerana sistem individualistik yang memecahkan ikatan keluarga.
Sebagai Muslim, kita perlu memahami bahawa kehidupan ini bukan hanya di dunia. Kita bukan sahaja sedang berlumba untuk mati dengan simpanan terbanyak tetapi untuk mati dalam keadaan reda ALLAH serta bahagia di akhirat.
***PROF MADYA DR KHAIRUL HAMIMAH MOHAMMAD merupakan Pensyarah Fakulti Sains Sosial, Open Universiti Malaysia dan PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia