ISTANBUL - Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan pada Khamis ia menyasarkan pangkalan yang menempatkan jet pejuang F-35, F-15 dan F-16 Amerika Syarikat (AS) di Jordan sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut IRGC dalam satu kenyataan, Pasukan Aeroangkasanya melancarkan 12 peluru berpandu balistik ke Pangkalan Udara Al-Azraq dan apa yang disifatkannya sebagai kemudahan utama milik tentera AS.
Iklan
Iklan
Kenyataan itu mendakwa serangan tersebut memusnahkan kemudahan di pangkalan itu serta sejumlah besar jet pejuang AS yang ditempatkan di situ.
Menurut IRGC, serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu AS yang menyasarkan tapak rekreasi, kompleks perindustrian dan kawasan berhampiran Karaj dan Nazarabad di barat Tehran, serta pangkalan Pengawal Revolusi tempatan di Pishva County.
Ia menambah operasi oleh tenteranya akan diteruskan selagi"pencerobohan musuh" berlanjutan.
Terdahulu, IRGC berkata, 18 sasaran utama tentera AS telah diserang di pangkalan Ali Al Salem dan Ahmad Al Jaber di Kuwait, serta pangkalan Sheikh Isa di Bahrain, manakala kenyataan tentera Iran turut mengumumkan serangan yang menyasarkan sistem Patriot, kemudahan komunikasi dan Armada Kelima AS di Bahrain.
Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak berikutan serangan AS ke atas selatan Iran dan serangan Iran berikutnya yang menyasarkan aset tentera AS di seluruh rantau itu. - Bernama/Anadolu