LOS ANGELES - Sejak beberapa bulan lalu, Michael Gilpin akhirnya dapat tidur dengan selesa selepas meninggalkan kehidupan sebagai gelandangan.
Unit satu bilik itu kelihatan tidak ubah seperti 'sel penjara', namun ia jauh lebih baik berbanding tidur di dalam keretanya.
“Ia tidak seteruk hidup di jalanan. Saya tidak lagi diganggu lipas,” kata lelaki berusia 44 tahun itu mengenai 'rumah kecil' seluas enam meter persegi yang dikongsi bersama seorang lagi penghuni.
Gilpin adalah antara ribuan individu yang mendapat manfaat daripada bajet ratusan juta dolar yang menyediakan tempat tinggal kepada golongan gelandangan di Los Angeles (LA).
Bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu akan menjadi tuan rumah kepada lapan perlawanan Piala Dunia musim panas ini dan bakal menjadi tumpuan lebih besar apabila Sukan Olimpik 2028 berlangsung di sana.
Kebanjiran golongan gelandangan di LA telah mencacatkan pemandangan memandangkan bandar itu turut menjadi kawasan penempatan mewah luar biasa.
Khemah-khemah usang memenuhi kaki lima di seluruh bandar dengan golongan gelandangan terpaksa hidup berhimpit bersama penagih dadah dan mereka mengalami masalah kesihatan mental kronik yang tidak dirawat.
Sepanjang tiga tahun berkhidmat, Datuk Bandar, Karen Bass menjadikan isu tersebut sebagai fokus utama beliau dengan mempergiat inisiatif pembiayaan ribuan katil sama ada di hotel atau 'rumah kecil' seperti yang didiami Gilpin.
Usaha itu mula menunjukkan hasil apabila kelompok khemah dan troli beli-belah yang sebelum ini memenuhi kawasan Hollywood dan Venice Beach semakin berkurangan.
Banci terbaharu yang dikeluarkan pada 2025 menunjukkan jumlah gelandangan menurun sebanyak 17.5 peratus dalam tempoh dua tahun yang merupakan penurunan paling konsisten sejak bandar itu mula merekodkan data, kira-kira 20 tahun lalu.
Skala masalah masih besar
Namun, skala masalah itu masih besar. Daerah Los Angeles yang merangkumi kawasan pinggir bandar merekodkan 72,000 individu kehilangan tempat tinggal berdasarkan data rasmi dengan 47,000 daripadanya tidur di jalanan.
Di Lembah San Fernando di utara bandar itu, aktivis Armando Covarrubias cuba menangani krisis itu sebaik mungkin melalui rondaan hariannya dengan mengagihkan air, makanan ringan dan sup segera.
“Malangnya, katil dan pusat perlindungan tidak mencukupi,” ujarnya yang bekerja dengan pertubuhan Hope The Mission.
Di kawasannya, jumlah gelandangan dianggarkan empat atau lima kali ganda lebih ramai berbanding jumlah katil yang tersedia.
Seorang wanita dikenali sebagai Maggie berkata, dia berharap dapat memperoleh tempat tinggal tetap selepas 10 tahun hidup di jalanan.
Gelandangan berusia dalam lingkungan 40-an itu memberitahu dia kini berada dalam senarai menunggu.
Tidak semua pemohon dijamin mendapat tempat di kemudahan tersebut memandangkan ia mengenakan peraturan ketat termasuk larangan menerima pelawat.
Walaupun program itu menelan kos AS$300 juta (RM1.2 bilion), ia belum mencapai kejayaan sepenuhnya. Menjelang akhir 2025, seramai 5,800 individu berjaya ditempatkan, namun 40 peratus daripadanya kembali semula ke jalanan.
Krisis perumahan
Secara asasnya, bandar itu masih berdepan krisis perumahan yang turut melanda seluruh California.
Pakar berpendapat negeri itu tidak membina rumah mampu milik yang mencukupi malah jumlah keseluruhan kediaman juga tidak memadai.
Bekalan terhad menyebabkan harga hartanah dan sewa meningkat sehingga membebankan banyak pihak.
"Kos sara hidup meningkat, tetapi pendapatan kami kekal di takuk sama," menurut Michael Reyes, 59, yang kini tinggal di sebuah 'rumah kecil' selepas terpaksa tidur di belakang keretanya selama setahun.
Dia turut meragui sama ada LA akan meneruskan usaha tersebut selepas penganjuran Sukan Olimpik 2028.
“Mereka hanya buat untuk nampak gah di mata pelancong. Keadaan ini sememangnya tidak akan berubah,” katanya dalam nada kecewa. - AFP