Kerajaan diharap bantu IPTS terjejas: Dr Mohammad Redzuan

Iklan
Gambar kecil: Mohammad Redzuan

SHAH ALAM - Kerajaan diharap dapat membantu institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Naib Canselor dan Presiden Universiti Selangor (Unisel), Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, walaupun mendapat respons positif daripada penuntut yang mahu melanjutkan pengajian di universiti tersebut, namun ramai yang berkira-kira untuk menundanya pada kemasukan pada bulan September nanti.

Iklan
Iklan

"Kita (Unisel) ada tiga kali kemasukan penuntut dalam setahun antaranya pada April dan September. Kalau diikutkan pada April ini kita menerima kemasukan, tetapi ada penuntut mahu menunda kepada bulan September kerana penularan wabak Covid-19.

"Mereka risau jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi, bagaimana dengan keadaan mereka di kampus. Begitu juga jika Covid-19 belum berakhir, mereka khuatir berlaku jangkitan semasa berada di luar kampus untuk membeli makan dan sebagainya. Setakat ini, alhamdulillah Unisel bebas 100 peratus daripada penularan wabak itu," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Katanya, sekiranya jumlah kemasukan penuntut pada April ini berkurangan, pihaknya terpaksa berdepan dengan kos operasi disebabkan kekurangan pendapatan daripada pungutan yuran.

"Umum mengetahui sebagai sebuah universiti swasta pendapatan kita bergantung kepada yuran penuntut. Jika kita sediakan 1,000 tempat untuk penuntut baharu bagi kemasukan April, tetapi jika yang masuk walaupun cuma 300 hingga 400, namun universiti tetap perlu beroperasi.

Iklan

"Itu antara dilema yang dihadapi Unisel atau mungkin IPTS lain buat masa sekarang. Namun kita cuba sedaya upaya melakukan yang terbaik," katanya.

Jelasnya, soal sejauh mana sesebuah IPTS itu terjejas bergantung kepada berapa ramai penuntut tempatan dan luar negara.

"Jika IPTS itu bergantung kepada jumlah penuntut asing, mereka akan cukup terkesan dengan keadaan sekarang.

"Saya tidak kata kalau IPTS itu ramai penuntut tempatan. maka mereka tidak terjejas. Mereka tetap terjejas, tetapi kurang sedikit berbanding dengan IPTS yang mempunyai ramai penuntut tempatan. Ini kerana penuntut tempatan mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk meneruskan pengajian, tetapi penuntut asing dalam keadaan pintu sempadan ditutup dan penularan Covid-19 ramai yang bermasalah untuk meneruskan pengajian mereka," katanya.