BANGKALAN – Sebanyak 56 tan beras Bantuan Pangan (Banpang) yang diedarkan di Kecamatan Tanah Merah, Kabupaten Bangkalan, Jawa Timur, ditarik semula selepas ditolak oleh puluhan kampung susulan aduan mengenai warna beras yang kekuningan.
Menurut laporan Kompas.Com, Ketua Cawangan Bulog Madura, Ahmad Rofi'i berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera selepas menerima laporan berhubung penolakan tersebut.
Menurutnya, beras yang dipersoalkan itu akan digantikan dengan bekalan baharu bagi memastikan bantuan dapat diterima oleh penduduk dalam keadaan yang memuaskan.
“Kami akan menggantikan beras tersebut. Sebelum penghantaran dibuat, sampel beras baharu akan ditunjukkan terlebih dahulu kepada pihak kampung untuk mendapatkan persetujuan mereka,” katanya pada Sabtu.
Beliau menjelaskan bahawa beras berkenaan masih berada dalam keadaan baik dan selamat untuk dimakan meskipun warnanya berubah menjadi kekuningan akibat tempoh penyimpanan yang lama.
“Dari segi fizikal, beras itu bersih dan tidak berbau. Cuma warnanya kurang putih berbanding beras biasa,” ujarnya.
Ahmad berkata, Bulog menggunakan kaedah First In, First Out (FIFO) dalam pengurusan stok beras, iaitu stok yang disimpan lebih awal akan dikeluarkan terlebih dahulu sebelum stok baharu.
“Jika disimpan terlalu lama, beras mungkin menjadi sedikit berdebu, namun kualitinya masih baik dan tidak menjejaskan keselamatan makanan,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Pertanian, Perikanan dan Ketahanan Pangan (DP2KP), Dr CHK Karyadinata, berkata hasil pemeriksaan pihaknya mendapati beras tersebut tidak berbau hapak, tidak berkutu dan tidak bergumpal.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat perubahan warna pada beras berkenaan.
“Kami telah berunding dengan Bulog dan mereka komited untuk menarik balik serta menggantikan bekalan tersebut. Kami juga berharap kualiti beras yang akan diedarkan selepas ini dapat dipertingkatkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pengedaran beras bantuan di Kecamatan Modung ditangguhkan sementara waktu bagi memberi ruang kepada proses penambahbaikan dilakukan.
Terdahulu, Ketua Kampung Pangeleyan, Zaiqulhak Alfarisi mendakwa, beras bantuan dalam pek 10 kilogram yang diterima penduduk didapati berwarna kuning kecoklatan.
Susulan itu, beberapa kampung lain di Kecamatan Tanah Merah turut mengambil keputusan menolak bekalan beras berkenaan.
“Beras itu tidak sesuai untuk diagihkan kepada penerima bantuan,” katanya.