NEW YORK - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan melakukan lawatan singkat selama 24 jam ke New York, Amerika Syarikat (AS) untuk berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada bulan ini.
Pemimpin ‘ekstremis’ itu dikatakan tiada pilihan lain dan terpaksa juga hadir susulan kebimbangan akan ditahan selepas Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani menggesa penahanannya berhubung dakwaan jenayah yang dilakukan dalam perang ganas di Genting Gaza.
Bagaimanapun, Wakil Tetap Israel ke PBB, Danny Danon menuduh Mamdani cuba ‘berpolitik’ selepas beliau dengan lantang menggelar Netanyahu sebagai penjenayah perang.
Mamdani turut merujuk kepada waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada November 2024 terhadap pemimpin veteran itu dan seorang lagi pegawai Israel atas dakwaan melakukan jenayah kemanusiaan.
Walaupun New York tidak mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan waran tangkap ICC, beliau menggesa kerajaan persekutuan AS mengambil tindakan sedemikian.
Bagaimanapun, usaha itu dijangka berdepan kesukaran memandangkan Washington dan Tel Aviv bukan anggota ICC selain pentadbiran Presiden Donald Trump telah mengenakan beberapa siri sekatan sebagai sebahagian daripada usaha untuk melemahkan tribunal tersebut.
Netanyahu dijadual tiba di New York lewat 23 September sebelum berucap pada keesokan harinya dan kembali ke Israel pada malam yang sama.
Jika Netanyahu berada di kota metropolitan tersebut sepanjang acara itu, kehadirannya dijangka mencetuskan siri demonstrasi ketika mesyuarat peringkat tinggi PBB berlangsung sehingga 28 September ini.
Pada tahun lalu, aksi keluar beramai-ramai dari dewan UNGA tercetus sebaik sahaja Netanyahu mula berucap yang jelas mencerminkan penolakan sebahagian besar wakil dunia terhadap kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza. - Agensi