BANGKOK – Seorang anggota polis di Thailand menembak mati isterinya yang bekerja di sebuah tadika ketika kejadian pada Rabu
Menurut pihak berkuasa, pelaku turut kembali semula ke rumah selepas melakukan serangan tembakan di wilayah Chonburi, di tenggara Bangkok.
Pengerusi Majlis Daerah Nong Pla Lai, Sayan Klomaon berkata, suspek tiba di sekolah kira-kira jam 10.30 pagi (waktu tempatan) dan berbual dengan isterinya sebelum menembaknya.
"Tiada individu menyaksikan kejadian itu kerana ia berlaku di luar bilik darjah. Kesemua kanak-kanak telah dibawa keluar dari sekolah.
Dalam kenyataan di Facebook, Gabenor Chonburi, Naris Niramaiwong, mengesahkan kesemua 44 kanak-kanak berjaya dipindahkan ke tempat selamat bersama tiga guru dan tiga kakitangan lain.
Beliau memaklumkan polis telah mengepung rumah suspek dan sedang berunding bagi memujuknya menyerah diri dan motif kejadian masih disiasat.
Pada 2022, seorang bekas anggota polis bersenjatakan pistol dan pisau menyerbu sebuah taska di utara Thailand sebelum membunuh 24 kanak-kanak dan 12 orang dewasa yang disifatkan sebagai tragedi pembunuhan beramai-ramai paling dahsyat di negara itu. – AFP