Nilai kenabian asas bina masyarakat berintegriti, tamadun

Iklan
Mohd Nor

SHAH ALAM - Nilai asas paling utama dalam membina karakter bangsa ialah nilai profetik atau nilai kenabian yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Ketua Pusat Pembangunan Penyampaian dan Pembelajaran Inovatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Profesor Dr Mohd Nor Mamat berkata, empat nilai utama itu ialah Sidq (benar), Amanah (berakauntabiliti), Tabligh (mengurus maklumat dengan telus) dan Fatanah (bijaksana).

Iklan
Iklan

“Keempat-empat nilai ini bukan sekadar prinsip agama, tetapi formula pembinaan tamadun yang terbukti melahirkan masyarakat jujur, bertanggungjawab, telus dan berilmu.

“Jika nilai-nilai ini berjaya diterapkan sebagai budaya kehidupan, maka setiap keputusan, tindakan dan urusan dalam masyarakat akan dipandu oleh kebenaran, amanah, ketelusan serta kebijaksanaan,” katanya kepada Rasuah Busters pada Jumaat.

Iklan

Tambah Mohd Nor, hakikat krisis terbesar yang sedang dihadapi dunia hari ini bukanlah kekurangan sumber, tetapi kemerosotan nilai.

Ujar beliau, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan, fitnah dan manipulasi maklumat berlaku apabila nilai Sidq, Amanah, Tabligh dan Fatanah semakin terhakis daripada kehidupan.

Iklan

“Membina masyarakat berintegriti tidak berlaku melalui slogan atau kempen semata-mata.

“Ia memerlukan latihan, pendidikan dan pembiasaan yang konsisten. Nilai Sidq menuntut kita membiasakan diri bercakap benar dalam apa jua keadaan, walaupun kebenaran itu tidak memihak kepada diri sendiri.

“Budaya berbohong, berhelah dan memutar fakta perlu dihentikan sebelum ia menjadi kebiasaan yang merosakkan masyarakat,” katanya.

Tegasnya, nilai Amanah turut penting kerana masyarakat perlu dididik untuk bertanggungjawab terhadap setiap tindakan dan keputusan yang dibuat.

Ujarnya, budaya menyalahkan orang lain, mencari alasan bagi menutup kelemahan diri atau mengelak daripada memikul tanggungjawab perlu ditinggalkan.

“Individu yang amanah sentiasa berani mengakui kesilapan dan berusaha memperbetulkannya.

“Dalam era ledakan maklumat hari ini, nilai Tabligh menjadi semakin penting. Ketelusan dalam mengurus maklumat adalah asas kepada kepercayaan masyarakat.

“Budaya menyembunyikan fakta, menyampaikan maklumat separuh benar atau terlalu apologetik sehingga mengaburkan kebenaran hanya akan melahirkan masyarakat yang keliru dan hilang keyakinan terhadap institusi serta kepimpinan,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, nilai Fatanah pula menuntut setiap keputusan dibuat berasaskan ilmu, data dan kebijaksanaan.

Jelasnya, masyarakat yang matang tidak membuat keputusan berdasarkan sentimen, emosi atau persepsi semata-mata.

“Sebaliknya, mereka menilai fakta, merujuk data dan mengutamakan ilmu sebelum membuat pertimbangan.

“Apabila nilai-nilai kenabian ini berjaya dibudayakan, ia akan melahirkan individu yang dihormati dan dipercayai.

“Inilah rahsia keperibadian Rasulullah SAW sehingga Baginda dikenali dengan gelaran Al-Amin, iaitu insan yang paling dipercayai oleh masyarakat,” katanya.