ESTA diluluskan, kemudian dibatalkan: Penyokong Scotland berisiko terlepas Piala Dunia

Iklan
Penyokong Scotland, Scott Braid sepatutnya melancong ke AS bersama keluarganya tetapi dokumen perjalanannya telah ditukar pada saat-saat akhir

EDINBURGH - Puluhan penyokong bola sepak Scotland berdepan risiko tidak dapat menghadiri kempen Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS) selepas status kebenaran perjalanan mereka di bawah Sistem Elektronik Kebenaran Perjalanan (ESTA) ditukar secara mengejut daripada"diluluskan" kepada"perjalanan tidak dibenarkan".

BBC melaporkan, rakyat United Kingdom (UK) yang ingin memasuki AS bagi tempoh sehingga 90 hari tanpa visa perlu memohon ESTA terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

Scott Braid, 43, dari Kirkcaldy, yang dijadual berlepas ke Boston pada 12 Jun bersama isteri dan dua anaknya, berkata status ESTA miliknya berubah daripada diluluskan kepada sedang diproses sebelum ditukar kepada"perjalanan tidak dibenarkan" dalam tempoh dua jam.

Menurut Scott, beliau pernah memiliki ESTA yang tamat tempoh pada 2024 dan melancong ke AS pada 2023 tanpa sebarang masalah, selain tiada perubahan terhadap keadaan dirinya sejak itu. Scott kini berharap dapat menyertai keluarganya kemudian selepas memperoleh temu janji visa di Belfast minggu depan.

Iklan

Situasi sama turut dialami dua beradik, Andrew dan Nelson Speirs dari Kirkcaldy. Mereka memohon ESTA pada 14 Disember lalu dan menerima kelulusan sehari kemudian sebelum status itu ditukar kepada tidak dibenarkan melakukan perjalanan pada 3 Jun.

Nelson berkata, mereka tidak membuat sebarang tempahan sehingga kebenaran diberikan dan kini berisiko menanggung kerugian perjalanan ke Miami bernilai £10,000 yang dirancang sempena ulang tahun ke-40 Andrew.

Iklan

Kedua-dua beradik itu turut menunjukkan tangkap layar laman web ESTA kepada BBC Scotland News yang memaparkan permohonan mereka sebelum ini diluluskan tetapi kini tidak lagi dibenarkan.

Mereka bagaimanapun berjaya mendapatkan temu janji di Konsulat AS di Belfast pada 11 Jun.

Menurut BBC Scotland News, ESTA yang diluluskan lazimnya sah selama dua tahun dan membolehkan beberapa lawatan singkat ke AS.

Warganegara UK yang mempunyai sabitan jenayah tertentu atau isu imigresen kebiasaannya tidak layak memohon kemudahan itu.

Pada Disember lalu, Rumah Putih menyatakan hasrat menjadikan semakan media sosial sebagai sebahagian daripada proses permohonan ESTA.

Mereka yang tidak layak perlu memohon visa AS, namun proses berkenaan boleh mengambil masa yang panjang.

Scotland dijadual memulakan kempen Piala Dunia pada 12 Jun. BBC Scotland News melaporkan pihaknya telah menghubungi Kedutaan AS di London, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS serta Kastam dan Perlindungan Sempadan AS bagi mendapatkan maklum balas berhubung isu berkenaan.