TEHERAN - Iran menegaskan tidak akan memeterai sebarang perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) jika ia gagal menjamin hak rakyat republik itu.
Ketua Perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, tiada kesepakatan dibuat sehingga Teheran benar-benar yakin hak rakyatnya terpelihara.
"Perunding Iran tidak mempercayai kata-kata mahupun janji pihak musuh (AS)," katanya menerusi rakaman video yang disiarkan televisyen negara pada Isnin.
Kenyataan tersebut dibuat ketika Iran dan AS terus bertukar cadangan rangka kerja perjanjian bagi menamatkan perang yang tercetus pada 28 Februari lalu hingga mengheret Asia Barat ke dalam konflik terbabit.
Sebelum ini, The New York Times dan Axios melaporkan bahawa Presiden AS, Donald Trump sudah mengemukakan semula rangka kerja baharu untuk dipertimbangkan pihak Iran yang mengandungi syarat lebih ketat kepada Tehran.
Bagaimanapun, perincian mengenai syarat itu masih belum jelas.
Iran menganggap pelonggaran sekatan dan pembebasan asetnya yang dibekukan di bank luar negara sebagai antara hak utama perlu dijamin dalam sebarang perjanjian bersama AS.
Sejak tercetusnya konflik peperangan, Iran terus mengekalkan kawalan ketat ke atas Selat Hormuz yang menjadi laluan penting bagi tenaga dunia, selain menganggap pengawasan ke atas perkapalan melalui perairan itu sebagai haknya. - AGENSI