FILEM seram dramatik Khadam arahan Shamyl Othman tampil dengan pendekatan berbeza apabila mengangkat kisah saka berlatar tahun 1950-an, sekali gus membawa penonton menyelami konflik emosi dan hubungan kekeluargaan yang lebih mendalam.
Diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions, filem tersebut mengisahkan Melor, seorang wanita yang terpaksa mewarisi saka keluarga selepas kematian ibunya.
Namun, entiti itu bukan sekadar menghuni, sebaliknya perlahan-lahan mula mengambil alih kehidupannya sehingga membuatkan dirinya semakin terpinggir dalam keluarga sendiri.
Menurut Shamyl, Khadam bukan sekadar menampilkan elemen seram biasa, tetapi cuba membawa penonton memahami bagaimana sesuatu gangguan boleh perlahan-lahan mempengaruhi emosi, identiti dan hubungan dalam sebuah keluarga.
“Dalam Khadam, saka digambarkan sebagai gangguan yang mengambil ruang dalam diri seseorang secara perlahan. Sampai satu tahap, mereka sendiri tidak lagi pasti siapa diri mereka dan apa yang sedang menguasainya,” katanya.
Tambah Shamyl, cabaran terbesar sepanjang menghasilkan filem itu adalah memastikan setiap watak memiliki emosi yang jujur dan realistik supaya penonton dapat benar-benar merasai tekanan serta ketakutan yang dialami.
“Kami mencari pelakon yang mampu membawa emosi yang jujur dan kompleks. Setiap watak dalam filem ini memerlukan keseimbangan yang sangat halus antara apa yang dilihat dan apa yang sebenarnya berlaku di dalam diri mereka,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, Shamyl turut memberi perhatian terhadap aspek visual sinematik dan susunan emosi bagi memastikan setiap babak terasa dekat dengan penonton, selain tidak bergantung sepenuhnya kepada elemen kejutan semata-mata.
Khadam diterajui pelakon Indonesia, Aghniny Haque sebagai Melor dan digandingkan bersama Datuk Remy Ishak yang memegang watak Awang.
Turut membintangi filem itu ialah Siti Khadijah Halim sebagai Manis, Zarra Zhaff (Puteh), Karl’ El (Hitam) serta penampilan khas Jun Lojong (Nek Mak).
Bagi Remy, watak Awang dianggap mencabar kerana perlu membawakan sisi seorang lelaki yang menyimpan rasa kasih, namun sukar meluahkan perasaan sebenar.
“Awang bukan watak untuk disukai. Dia wujud di sekeliling kita, lelaki yang merasa, tetapi tidak pernah mengaku. Itu yang membuatkan watak ini sangat mencabar untuk saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Remy turut memberitahu dia tidak berdepan sebarang masalah untuk membina keserasian bersama Aghniny walaupun mereka datang daripada latar industri dan negara berbeza.
Menurutnya, komunikasi sepanjang penggambaran berjalan lancar kerana masing-masing memberi komitmen penuh terhadap karakter dan emosi yang mahu dibawakan dalam filem tersebut.
Menariknya, Khadam juga menjadi penampilan sulung Aghniny dalam produksi Malaysia selepas dikenali menerusi filem popular Indonesia seperti KKN di Desa Penari, Mencuri Raden Saleh dan Qorin.
Khadam dijadual menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 11 Jun 2026.