IPOH - Bermula dengan sekadar kerap bermesej dan bertukar gambar tanpa baju di telefon bimbit, sehingga akhirnya terjebak dalam kancah ketagihan seks yang melampau.
Itu dialami seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang menjadi mangsa pengantunan seksual kanak-kanak oleh bapa saudara sendiri.
Pendedahan mengejutkan itu dikongsikan Pengerusi Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) Daerah Larut Matang dan Selama, Norehan Yusof kepada Sinar Harian.
Menurut Norehan, lelaki berusia 40-an itu dikatakan kerap menghantar mesej kepada mangsa sebelum lama-kelamaan saling berbalas dan bertukar gambar hingga terlanjur beberapa kali.
Katanya, kes mula terbongkar selepas ibu saudara mangsa terbaca mesej dalam telefon sebelum memaklumkan kepada keluarga.
Walaupun perkara itu dapat disekat, namun trauma yang ditinggalkan telah berakar umbi sehingga mangsa mengalami gangguan tingkah laku serius.
“Remaja ini mengaku ketagihan dan tidak dapat mengawal perasaan tersebut.
"Perkara ini dapat dikesan awal selepas seorang daripada pelajar lelaki terbabit berusia 16 tahun melaporkannya kepada pihak sekolah," katanya.
Norehan yang juga guru kaunseling berkata, situasi tersebut menunjukkan bahawa mangsa telah hampir menjadi pelaku serangan seksual kepada kanak-kanak lain.
"Ketika disoal siasat, remaja perempuan berkenaan menunjukkan aksi bersahaja seolah-olah tiada apa yang berlaku," katanya.
Norehan menjelaskan, dalam situasi seumpama itu, penderitaan yang dialami mangsa boleh mencetuskan kitaran jenayah sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh dan berkesan.
"Seperti satu kes melibatkan bapa kandung merogol anak perempuan berusia lima tahun dan meliwat anak lelaki berusia 12 tahun sehingga kedua-duanya mengalami trauma yang sangat teruk.
"Ketika sesi kaunseling, kanak-kanak lelaki terbabit menyatakan hasrat untuk melakukan perkara sama kepada orang lain kerana merasakan dunia tidak adil terhadap dirinya.
Pengalaman Norehan mengendalikan kes sejak 2018 menunjukkan trend serangan seksual terhadap kanak-kanak termasuk pedofilia semakin meningkat dan membimbangkan dengan kebanyakan terlibat dalam kalangan individu dikenali mangsa.
Beliau berkata, seorang pedofilia lazimnya mempunyai fantasi seks terhadap kanak-kanak di bawah usia 13 tahun dan sering bertindak di luar tabii demi memuaskan bayangan seksual mereka.
“Biasanya pelaku menggunakan gajet dan hadiah sebagai strategi utama. Mereka melayani mangsa dengan sangat baik sehingga kanak-kanak itu percaya bahawa pelaku adalah individu paling selamat untuk didekati," katanya.