KUALA TERENGGANU - Golongan pengamal media di negeri ini disaran agar tidak memandang remeh aspek penjagaan kesihatan mata berikutan tuntutan tugas harian yang mendedahkan mereka kepada penggunaan gajet dan skrin digital dalam tempoh lama.
Menyedari risiko tersebut, Pusat Pakar Mata Bashira (BESc) bersama Kelab Media Perdana Terengganu (METRA) menjalinkan kerjasama menerusi program Luncheon Special Talk: Healthy Eye Care for Life di sini pada Ahad.
Inisiatif tersebut bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan penglihatan yang optimum, memandangkan BESc merupakan satu-satunya pusat pakar mata di Pantai Timur yang menawarkan teknologi pencahayaan laser TransPRK LASIK untuk mengatasi masalah rabun tanpa cermin mata.
Pengarah Pusat Pakar Mata Bashira, Profesor Dr Harmy Mohamed Yusoff berkata, kolaborasi bersama METRA di bawah kepimpinan pengerusinya, Zaid Mohd Noor, diharapkan dapat membawa anjakan terhadap kesihatan mata dalam kalangan warga media.
"Inilah masanya untuk penjagaan mata secara berkala. Dengan skop kerja media yang tidak lari daripada menghadap komputer dan telefon pintar, setiap petugas amat dialu-alukan untuk menjalani pemeriksaan mata yang lengkap di pusat kami," katanya.
Menurut beliau, pendedahan berterusan kepada gajet boleh menyumbang kepada masalah penglihatan kabur dan kelesuan mata sekali gus menjejaskan efisiensi kerja di lapangan, lebih-lebih lagi bagi tugasan yang menuntut aktiviti lasak seperti sukan atau menyelam.
Justeru katanya, bebas daripada belenggu cermin mata menerusi rawatan moden bukan sahaja meningkatkan produktiviti penulisan dan pelaporan, malah bertindak sebagai langkah keselamatan kerja yang penting untuk jangka masa panjang.
Beliau turut menekankan bahawa pengamal media memegang peranan kunci untuk mendidik masyarakat tentang bahaya pendedahan gajet yang keterlaluan dan kepentingan pemeriksaan perubatan mata secara berkala.
"Media berada di kedudukan penting bagi menyampaikan informasi mengenai teknologi moden terkini di Terengganu. BESc sentiasa bersedia menyediakan perkhidmatan rawatan terbaik bagi memastikan masyarakat, bermula dengan pengamal media, mendapat kualiti penglihatan yang sihat," katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya menzahirkan penghargaan atas pengorbanan pengamal media dengan menyampaikan baucar penghargaan bernilai RM200 untuk rawatan laser TransPRK lasik Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini.
"Baucar diskaun tersebut boleh ditebus oleh mana-mana kakitangan media arus perdana dengan hanya membuat janji temu melalui talian telefon dan mengemukakan kad akreditasi media rasmi mereka," ujarnya.