SHAH ALAM - Isu kompetensi pengurusan asrama serta jurang generasi yang besar antara pentadbir sekolah, guru dan pelajar dikenal pasti sebagai antara kelemahan utama menyumbang kepada berterusnya budaya buli di sekolah berasrama penuh (SBP) atas nama tradisi dan disiplin.
Ketua Nazir Sekolah, Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Naharudeen Othman mendedahkan dapatan pemeriksaan pihak Nazir di kesemua 72 SBP seluruh negara mendapati wujud kekurangan ilmu pengetahuan yang meluas dalam kalangan warden asrama berhubung aspek perundangan dan sosioemosi pelajar.
“Kebanyakan warden yang dilantik terdiri daripada guru-guru baharu yang tiada pengalaman untuk menguruskan anak-anak ini.
"Malah, tugas mencabar ini kurang diminati berikutan kadar elaun bulanan yang rendah iaitu sekitar RM300 sebulan, sedangkan mereka perlu bertugas 12 jam dalam satu sesi selain komitmen mengajar pada keesokan harinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Forum “Respect vs Fear: Shaping Positive Traditions in SBPs Without Crossing Into Bullying” di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini pada Ahad.
Forum anjuran Gabungan Alumni SBP itu turut dihadiri Penaung Gabungan Alumni SBP, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Presiden Persatuan Murid-Murid Tua Maktab Perempuan Melayu/Kolej Tunku Kurshiah, Datuk Dr Hafsah Hashim, serta dikendalikan oleh Dr Malar Santhi Santherasegapan sebagai moderator.
ARTIKEL BERKAITAN: Buli tidak boleh lagi dilindungi atas nama tradisi — Bekas KP Pendidikan
Panel lain turut terlibat dalam forum ini adalah Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan UKM, Profesor Madya Dr Hasnah Toran; peguam, M.K. Thas serta Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Dr Zasmani Shafiee.
Mengulas lanjut, Naharudeen berkata, selain isu kompetensi, ‘jurang generasi’ turut menjadi isu besar menyelubungi ekosistem sekolah berasrama ketika ini apabila suara guru dan murid kurang didengari oleh pihak pentadbir.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak alumni dan komuniti sivil bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memberikan latihan pengurusan sosioemosi serta mewujudkan ekosistem asrama lebih selamat dan jelas sempadannya antara latihan pengukuhan disiplin dengan perbuatan buli.
“Kita perlu memperkukuh empat aspek utama iaitu Content (pengisian ilmu buat guru dan ibu bapa), Approach (pendekatan yang betul), Space (ruang persekitaran selamat termasuk pemantauan kamera litar tertutup) dan Marketing (pemasaran maklumat pencegahan).
“Malah, saya melihat ibu bapa yang mahu menghantar anak ke SBP juga wajar diwajibkan menduduki kursus keibubapaan khas terlebih dahulu agar mereka lebih memahami realiti dan cabaran semasa pendidikan berasrama,” tambahnya.