'Kota suci kian berubah, ada momen menyentuh hati'

Iklan
Masjidilharam terbentang luas boleh dilihat menerusi balkoni Manara Jam. Foto TH

 

MAKKAH – Di kota yang tidak pernah tidur ini, setiap langkah membawa cerita. Di sebalik lautan manusia yang datang menunaikan ibadah haji, tersembunyi satu lagi naratif yang jarang dilihat dari dekat iaitu bagaimana Makkah dibina, diurus dan dipersembahkan kepada dunia.

Iklan
Iklan

Lawatan khas anjuran General Authority of Media Regulation Arab Saudi baru-baru ini membawa delegasi pengamal media antarabangsa menyusuri ruang-ruang yang bukan sekadar destinasi, tetapi cerminan kepada sebuah kota yang sedang berkembang antara sejarah, teknologi dan spiritualiti.

Petugas media Malaysia bersama General Authority of Media Regulation Arab Saudi. Foto TH

Iklan

Bagi penulis, ia bukan sekadar lawatan. Ia seperti menonton Makkah dari sudut yang berbeza, lebih dekat, lebih perlahan dan lebih mendalam.

Setiap lokasinya juga bukan sahaja memaparkan fakta dan pembangunan, tetapi juga turut meninggalkan satu persoalan, bagaimana sebuah kota suci mengimbangi masa lalu, masa kini dan masa depan?

Iklan

Antara lokasi awal yang dikujungi ialah Bilik Pameran Seni Bina Dua Masjid Suci yang terletak di Umm Al-Joud memaparkan evolusi Masjidilharam dan Masjid Nabawi melalui model dan visual projek peluasannya.

Sejarah tidak sekadar dipamerkan, tetapi ia disusun semula dalam bentuk visual, model dan dokumentasi pembangunan.

Setiap paparan karya asli, replika, manuskrip jarang dan elemen seni bina lama yang pernah digunakan di dalam dua masjid suci tersebut seperti tiang-tiang lama, pintu, lampu dan reka bentuk mihrab dari zaman Uthmaniyyah dan zaman sebelum ini membawa penulis menyusuri perubahan Masjidilharam dan Masjid Nabawi, daripada struktur ringkas suatu ketika dahulu kepada kompleks ibadah berskala dunia hari ini.

Ada saat penulis berhenti lama di hadapan model-model itu. Bukan kerana reka bentuk semata-mata, tetapi kerana terbayang jutaan langkah jemaah yang pernah dan akan terus mengisi ruang tersebut.

Setiap huruf dan helaian kiswah disiapkan dengan penuh tertib. Foto TH

Kiswah Kaabah: Keheningan di sebalik benang dan sutera

Di King Abdulaziz Complex for the Holy Kaaba Kiswa, suasana berubah menjadi lebih hening. Di sinilah kiswah, penutup Kaabah yang bukan sekadar fabrik hitam berbenang emas, tetapi satu proses yang dipenuhi disiplin, ketelitian dan warisan yang tidak pernah terputus.

Kompleks ini turut menempatkan kira-kira 200 hingga 250 petugas yang semuanya lelaki, termasuk lebih 100 tukang mahir yang terlibat secara langsung dalam kerja sulaman halus ayat-ayat al-Quran menggunakan benang emas dan perak, selain juruteknik serta tenaga sokongan lain yang memastikan setiap proses berjalan dengan sempurna sebelum kerja-kerja penggantian penutup Kaabah dilakukan pada 9 Zulhijjah setiap tahun.

Penulis melihat bagaimana setiap helaian disiapkan dengan penuh tertib. Dalam keheningan ruang itu, timbul rasa kagum yang sukar dijelaskan, seolah-olah setiap jahitan membawa makna yang lebih besar daripada sekadar seni kerja tangan.

Antara yang paling mencuri perhatian ialah Projek Destinasi Masar yang dibangunkan oleh Umm Alqura for Development and Construction (UAQ) iaitu sebuah syarikat yang menerajui transformasi pembangunan kawasan sekitar Masjidil Haram. Projek Masar, sebuah koridor bandar moden sepanjang 3.65 kilometer yang menghubungkan kawasan sekitar Makkah terus ke Masjidilharam.

Dari dalam bas elektrik yang bergerak perlahan, Masar terlihat seperti sebuah bandar yang sedang “ditulis semula”.

Laluan pejalan kaki yang luas, jalan kenderaan yang teratur, serta rangkaian infrastruktur bawah tanah membentuk satu sistem yang hampir tidak kelihatan di permukaan, tetapi sangat besar di bawahnya.

Di sinilah Makkah memperlihatkan wajah masa depannya sebagai sebuah kota yang dirancang bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk jutaan manusia yang akan datang selepas kita.

Penulis sempat berdiri seketika di bawah struktur teduhan Masar. Angin panas Mekah menyapa, tetapi suasananya terasa berbeza seperti berada di persimpangan antara pembangunan dan ibadah.

Penulis di balkoni Menara Jam. Foto TH

Sementara itu, di Muzium Menara Jam, muzium sains empat tingkat yang terletak di puncak Abraj Al-Bait ini, sejarah penentuan waktu, astronomi Islam dan teknologi pembinaan mercu tanda paling ikonik di Makkah dipaparkan dengan terperinci daripada kejuruteraan, skala pembinaan hingga peranan simboliknya.

Namun segalanya menjadi sunyi apabila tiba dan berdiri di balkoni Menara Jam tersebut. Dari ketinggian itu, Masjidilharam terbentang luas. Lautan manusia yang bergerak perlahan di sekitar Kaabah kelihatan seperti satu aliran yang tidak pernah terhenti.

Dalam detik itu, ramai yang hanya diam, termasuk penulis. Ada pemandangan yang tidak perlu banyak bicara, cukup untuk dilihat, direnung dan disimpan dalam ingatan.

Sirah Rasulullah SAW tidak hanya dipamerkan. Ia"diceritakan semula” melalui visual moden, susunan kronologi dan pengalaman interaktif. Foto TH

Pameran Biografi Nabi: pulang kepada asal sebuah cerita

Lawatan diakhiri di The International Fair and Museum of the Prophet’s Biography and Islamic Civilization di tingkat dua, Abraj Al Bait.

Di sinilah perjalanan itu menjadi lebih peribadi. Setiap paparan bukan sekadar informasi sejarah, tetapi seperti mengajak pengunjung menyusuri semula satu perjalanan yang membentuk seluruh tamadun.

Di ruang ini, sirah Rasulullah SAW tidak hanya dipamerkan. Ia “diceritakan semula” melalui visual moden, susunan kronologi dan pengalaman interaktif.

Semakin jauh melangkah di dalam pameran, semakin terasa perjalanan itu bukan sekadar sejarah. Ia adalah kisah perjuangan, ketabahan dan pengorbanan yang membentuk asas sebuah agama yang terus hidup hingga hari ini.

Di satu sudut, penulis berhenti lebih lama daripada biasa. Melihat perjalanan hidup Rasulullah SAW yang disusun dengan begitu teratur membuatkan hati terasa lebih tenang, seolah-olah diingatkan kembali tentang makna sebenar sebuah perjuangan.

Projek Masar, sebuah koridor bandar moden sepanjang 3.65 kilometer yang menghubungkan kawasan sekitar Makkah terus ke Masjidilharam. Foto TH

Makkah yang bergerak, Makkah yang kekal

Lewat petang, lawatan penulis dan rakan-rakan media berakhir tetapi kesannya tidak ternokhtah di situ.

Ia membuka satu sisi Makkah yang mungkin jarang dilihat dari luar sebagai sebuah kota yang terus membangun dengan teknologi dan perancangan moden, namun pada masa yang sama kekal berakar pada nilai spiritual yang tidak berubah.

Bagi penulis, inilah yang paling sukar digambarkan, bagaimana sebuah kota mampu bergerak ke masa depan, tanpa sekali-kali meninggalkan jiwanya sendiri.