Penyertaan sukarela PLKN 3.0 dapat sambutan positif

Iklan
Samad (tiga dari kiri) Dan Ahmad Husaini (empat dari kiri) bersama pelatih PLKN 3.0 di MALBATT VILLAGE Port Dickson.

PORT DICKSON - Penyertaan secara sukarela dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 mendapat sambutan positif apabila seramai 474 individu yang telah pun mengambil bahagian setakat ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Brigedier Jeneral Samad Igom berkata, kira-kira 20 peratus hingga 30 peratus jumlah keseluruhan peserta program terbabit bagi siri pertama dan kedua merupakan peserta yang mendaftar secara sukarela.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan statistik, daripada keseluruhan 883 pelatih pada siri satu, seramai 265 orang merupakan sukarela manakala bagi siri dua pula, daripada 1,375 pelatih, seramai 209 adalah sukarela.

"Mereka ini ditetapkan berusia 25 tahun ke bawah dan tertakluk kepada syarat serta prosedur lain ditetapkan," katanya ditemui pemberita selepas program Jerayawara Program Parlimen Belia Malaysia di Cawangan Latihan Khidmat Negara MALBATT Village di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia merangkap Pengerusi Parlimen Belia, Datuk Dr Ahmad Husaini Abdul Rahman.

Tambah beliau, penyertaan itu membuktikan persepsi negatif terhadap pelaksanaan semula PLKN semakin berubah apabila ramai belia tampil sendiri untuk menyertai program terbabit.

Iklan

Ujarnya, berdasarkan maklum balas diterima, kebanyakan peserta sukarela mengikuti program tersebut kerana ingin menimba ilmu, membina jati diri serta meningkatkan kesiapsiagaan untuk berbakti kepada negara.

"Mereka ini tidak ada peluang sebelum ini, jadi bila kita buka secara sukarela mereka tidak mahu ketinggalan.

"Mereka juga berpendapat ini juga peluang untuk mendapatkan merit tambahan untuk lebih berdaya saing bagi merebut peluang kerjaya di luar sana," katanya.

Selain itu beliau berkata, modul PLKN 3.0 sedikit berbeza berbanding sebelum ini yang mana 70 peratus melibatkan latihan ketenteraan dan selebihnya adalah kenegaraan.

Tambahnya, modul PLKN di peringkat institusi pengajian tinggi diperkenalkan bermula Jun ini dengan jumlah keseluruhan seramai 6,000 pelatih tahun ini.

"Program rintis untuk universiti akan dilaksanakan pada Jun ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang melibatkan lebih kurang 1,000 pelatih, di peringkat diploma.

"Pada bulan Ogos pula akan dilaksanakan di tiga Politeknik dengan jumlah pelatih dianggarkan 4,000 orang dan 1,000 orang di tiga Institut Pendidikan Guru," katanya.