Lelaki cederakan individu guna pedang ditahan, ada rekod dadah

Iklan
Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Foto hiasan

KUANTAN - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencederakan individu menggunakan pedang di sebuah tokong di Cameron Highlands semalam.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, suspek berusia 39 tahun itu diberkas selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kejadian tersebut kira-kira jam 6 petang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa lelaki berusia 31 tahun sedang mengadakan upacara keagamaan di rumah ibadat berkenaan bersama rakan-rakannya.

"Secara tiba-tiba suspek datang ke pekarangan tokong terbabit dengan membuat bising dan mengganggu pengunjung. Apabila diminta beredar suspek telah berang dan mengambil pedang yang berada di tokong lalu melibas ke arah mangsa.

Iklan

"Mangsa yang cuba menahan tindakan suspek telah mengalami kecederaan di bahagian tangan, dahi selain badan dan dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata sebelum dirujuk ke Hospital Fatimah, Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, hasil semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah antaranya berkaitan kesalahan dadah.

Iklan

Azri berkata, lelaki tersebut kini direman empat hari hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - Bernama